PENINGKATAN KES SPORADIK HARIAN DAN KEMATIAN COVID-19 DI MALAYSIA
Mutakhir ini, negara berhadapan dengan tren peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 dan kes-kes kematian COVID-19 terutamanya selepas 1 April 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-13]. Keadaan ini adalah amat membimbangkan, kerana majoriti kes baharu COVID-19 dan kes kematian COVID-19 adalah merupakan kes-kes-kes sporadik ketika ianya dilaporkan.
Kes sporadik bermakna kes yang dikesan di dalam komuniti yang tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kes atau kluster sedia ada.
Kumulatif mingguan kes baharu COVID-19
Berdasarkan analisa yang dijalankan, didapati jumlah kumulatif kes baharu COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April 2021) adalah sebanyak 8,968 kes (52.0 peratus adalah kes sporadik). Pada ME ke-19, jumlah kes baharu COVID-19 pula adalah sebanyak 29,386 kes (77.7 peratus adalah kes sporadik). Negara kemudiannya merekodkan kes kumulatif mingguan tertinggi setakat ini pada ME ke-21, iaitu sebanyak 53,419 kes di mana 85.1 peratus adalah merupakan kes sporadik. Tren kes kes sporadik kekal tinggi pada ME ke-22 (sehingga 5 Jun 2021), dengan jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 52,040 kes (84.3 peratus adalah kes sporadik). Graf 1 menunjukkan peningkatan peratusan kes-kes sporadik COVID-19 berbanding kes-kes kluster mengikut ME.

Kumulatif mingguan kes kematian COVID-19
Bagi kumulatif kes kematian COVID-19 pula, didapati ianya semakin meningkat dari minggu ke minggu. Kes kematian COVID-19 yang dilaporkan pada ME ke-13 (sehingga 3 April 2021) adalah sebanyak 35 kes (26 kes sporadik), manakala pada ME ke-19 adalah sebanyak 209 kes (187 kes sporadik). Jumlah ini melonjak dan pada ME ke-22 iaitu sebanyak 641 kes kematian COVID-19 (559 kes sporadik). Graf 2 jelas menunjukkan peningkatan pecahan kes kematian COVID-19 yang merupakan kes-kes sporadik berbanding kes kematian daripada kluster COVID-19. Salah satu faktor yang menyumbang kepada situasi tersebut adalah berikutan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti dengan kadar kebolehjangkitan dan kematian yang lebih tinggi, selain penularan COVID-19 secara lebih meluas di dalam komuniti berbanding ME yang sebelum.

Justeru, KKM ingin menyeru masyarakat untuk mengambil serius situasi ini di mana penularan COVID-19 adalah di dalam komuniti termasuklah tempat beli belah, tempat kerja, dan sebagainya. Masyarakat perlu faham bahawa sesiapa sahaja boleh dijangkiti COVID-19 tidak kira di mana mereka berada. Akibatnya, kita dapat melihat peningkatan kes-kes sporadik dan kematian akibat kes-kes sporadik ini di dalam komuniti.
Sehubungan itu, KKM ingin menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP). Lindungilah diri, keluarga, dan komuniti dalam memerangi pandemik ini. Antara langkah-langkah yang boleh diambil oleh masyarakat adalah seperti berikut;
- Kekal duduk di rumah dan hanya keluar apabila perlu;
- Sekiranya perlu keluar, patuhilah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jika boleh, wakilkan kepada hanya seorang bagi setiap rumah/keluarga untuk keluar bagi sebarang urusan di luar serta sentiasa mematuhi SOP yang telah digariskan;
- WAJIB mengenakan sekurang-kurangnya satu lapis pelitup muka di tempat awam (jenis perubatan atau fabrik). Pelitup muka 3 lapis perubatan menawarkan perlindungan yang lebih baik;
- SANGAT DIGALAKKAN mengenakan pelitup muka berganda terutama di tempat awam yang sesak dan kurang pengudaraan, iaitu satu (1) pelitup muka perubatan (3-ply medical/surgical mask) di bahagian dalam DAN satu (1) pelitup muka fabrik di luar;
- DINASIHATKAN juga untuk mengenakan pelindung muka (face shield) bersekali dengan pelitup muka berganda di KAWASAN AWAM BERISIKO TINGGI untuk perlindungan tambahan (misalnya hospital/klinik, kawasan awam yang sesak, kawasan kurang pengudaraan);
- Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan. Bawa keputusan ujian dan hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di daerah anda untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid-19.moh.gov.my/hotline ;
- Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Anda berisiko menjangkiti orang lain. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera; dan
- Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.
KKM menyeru semua pihak untuk sama-sama memainkan peranan yang penting dalam membantu kerajaan bagi memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara. Tanggungjawab kini di atas bahu kita semua untuk menjaga diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, dan negara kita.