COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENINGKATAN KES COVID-19 YANG MEMBIMBANGKAN DALAM KALANGAN KANAK-KANAK BAWAH 5 TAHUN DI MALAYSIA

Seperti yang dimaklumkan Yang Berhormat Menteri Kesihatan Dato’ Sri Dr Adham Baba, KKM sememangnya khuatir dan bimbang mengenai situasi penularan kes COVID-19 di kalangan kanak-kanak, terutamanya yang melibatkan bayi berumur kurang dari 1 tahun dan kanak-kanak bawah 5 tahun.

KKM berharap dengan segala maklumat yang diberikan KKM mengenai isu ini dapat menyedarkan semua pihak, terutamanya ibu bapa dan penjaga mengenai situasi penularan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak. Ibu bapa adalah berperanan sebagai pelindung kepada kanak-kanak. Mereka perlu mengambil tindakan proaktif untuk melindungi kanak-kanak agar tidak terdedah kepada bahaya COVID-19. Pesanan KKM kepada ibu bapa atau penjaga:

  1. Pantaulah pergerakan anak-anak agar kekal berada di rumah dan tidak keluar berjumpa kawan atau mengunjungi jiran tetangga;
  2. Hanya wakil keluarga dibenarkan untuk membeli barang keperluan keluarga, seperti mana yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Dalam perkara ini, ibu bapa sendiri perlu menjalankan tanggungjawab ini dan tidak membenarkan anak-anak remaja mengunjungi tempat tempat awam yang sesak dan berisiko tinggi;
  3. Anak-anak perlu dinasihatkan untuk sentiasa memakai pelitup muka dan mengamalkan kebersihan kendiri yang betul sekiranya terpaksa keluar daripada rumah atas urusan yang tidak dapat dielakkan (misalnya ke hospital/ klinik;
  4. Ibu bapa yang mempunyai bayi dan kanak kanak bawah 5 tahun perlu menjalankan tanggungjawab dengan kekal duduk di rumah, tidak membawa anak-anak ke tempat-tempat yang berisiko seperti pasaraya, pasar awam, dan tempat sesak yang lain. Gunakan pembelian atas talian bagi membantu mendapatkan keperluan seharian

Semua pihak terutamanya ibu bapa diseru untuk mengambil berat isu keselamatan dan kesihatan golongan kanak-kanak ini memandangkan mereka masih kecil dan sistem pertahanan tubuh mereka yang belum matang. Oleh itu, mereka cenderung untuk dijangkiti virus SARS-CoV-2. Kumpulan ini juga belum termasuk dalam golongan usia yang layak menerima suntikan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan. Justeru, ibu bapa dan ahli masyarakat sekitar harus melindungi mereka dengan mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin. Melalui cara ini, persekitaran yang lebih selamat dapat sama-sama kita bina bagi kelestarian generasi masa hadapan.

children-case

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post