SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI SPIKE PROTEIN COVID-19
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 dijalankan secara berterusan. Dari 24 Mei 2021 hingga 4 Jun 2021, sebanyak 19 kes varian baharu virus SARS-CoV-2 yang dilaporkan di mana kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu empat (4) kes varian Delta (B.1.617.2) dan 15 kes varian Beta (B.1.351).
Kes baharu varian Delta (B.1.617.2) yang dahulunya dikenali sebagai varian India adalah sebanyak tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Labuan dan satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Kesemua tiga (3) kes di Wilayah Persekutuan Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang merupakan kes-kes dari kluster Layangan Labuan. Manakala satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan.
Bagi 15 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang dahulunya dikenali sebagai varian South Africa pula, sebanyak enam (6) kes dilaporkan di Johor, lima (5) kes di Kelantan serta masing-masing satu (1) kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu. Kesemua kes adalah merupakan jangkitan tempatan.
Sehingga 4 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 138 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 122 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.
Jumlah kes Variant of Concern (VOC) yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu:
- varian Beta (B.1.351);
- varian Alpha (B.1.1.7); dan
- varian Delta (B.1.617.2).
Variant of Interest (VOI) yang dilaporkan pula adalah seperti berikut, iaitu:
- varian Theta (P.3);
- varian Eta (B.1.525); dan
- varian Kappa (B.1.617.1).
Untuk makluman, seperti yang diumumkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), varian COVID-19 akan dikenali menggunakan huruf Greek bagi mengelakkan mana-mana negara dikaitkan dengan stigma pandemik ini. Oleh itu, amalan mengenali varian SARS-CoV-2 mengikut negara ianya mula ditemui akan dihentikan.



KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes, serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini dalam komuniti.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM