KES SPORADIK DAN KES TIDAK BERGEJALA COVID-19 TERUS MENINGKAT DI LEMBAH KLANG
Perintah Kawalan Pergerakan (Lockdown) mulai 1 Jun 2021 kini telah memasuki minggu ke tiga (3) di mana jumlah kes harian COVID-19 dilihat masih berada pada paras yang tinggi melebihi empat (4) ribu kes sehari. Kes sporadik juga masih berada pada peratusan yang agak tinggi.
Dari 1 Januari 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-53/2020] hingga 19 Jun 2021 (ME ke-24/2021), Malaysia telah merekodkan sebanyak 578,105 kes COVID-19. Daripada jumlah tersebut sebanyak 398,846 kes (69.0 peratus) adalah kes sporadik di mana negeri tertinggi yang melaporkan kes sporadik adalah negeri Selangor dengan 151,725 kes (38.0 peratus), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 44,517 kes (11.2 peratus) dan diikuti oleh negeri Sarawak sebanyak 40,889 kes (10.3 peratus).
Kes-kes sporadik bermaksud kes-kes yang dikesan di dalam komuniti dan tidak dapat dikaitkan dengan mana-mana kluster sedia ada. Kes-kes sporadik ini dikesan melalui saringan di tempat kerja, saringan dalam komuniti, ataupun dari saringan kes bergejala. Apa yang lebih membimbangkan adalah kebanyakan kes sporadik tersebut tidak bergejala tetapi masih boleh menjangkiti sesiapa sahaja yang berada di sekeliling mereka yang tidak mengamalkan SOP dengan betul. Graf di bawah menunjukkan taburan kes sporadik dan kluster di Malaysia

Lembah Klang adalah sebuah kawasan yang terdiri daripada WP Kuala Lumpur dan pinggir bandarnya, serta meliputi kawasan bandar dan bandaraya di negeri Selangor. Pada ME ke-24, Lembah Klang mencatatkan jumlah kes sporadik tertinggi di Malaysia. Tiga (3) daerah tertinggi melaporkan Daerah Petaling dengan 3,905 kes, Daerah Hulu Langat dengan 2,783 kes, dan Daerah Klang dengan 2,482 kes.




Rajah-rajah di atas menunjukkan taburan pemetaan kes sporadik dan kes kluster di kawasan Lembah Klang bagi ME ke-13 sehingga ME ke-24. Dapat dilihat dengan jelas pertambahan kes sporadik dan taburannya yang makin meluas dan ketara apabila dibandingkan dengan pemetaan sebelumnya. Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 yang diumumkan pada 12 Mei 2021 (ME ke-19) dilihat telah berjaya mengawal peningkatan kes-kes kluster pada ME ke-24, namun kes-kes sporadik masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara (lihat graf 1).
PATUHI SARANAN “TINDAKAN KESIHATAN AWAM KENDIRI"
Implikasi kepada perkara di atas, kawasan Lembah Klang yang sememangnya mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi, bukan sahaja terdedah kepada bahaya banyak kes sporadik di dalam komuniti, malahan kebanyakan dari kes-kes COVID-19 ini tidak mempunyai gejala. Dengan erti kata lain, sukar bagi kita untuk mengetahui siapa yang mempunyai COVID-19 di kalangan kita. Oleh itu adalah sangat penting bagi semua pihak mengambil maklum perkara ini dan melindungi diri serta keluarga masing-masing daripada bahaya COVID-19.
Sehubungan itu, KKM ingin menyeru masyarakat untuk terus konsisten dalam mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) dan mengamalkan Tindakan Kesihatan Awam Kendiri sebagai salah satu langkah mendepani peningkatan kes-kes sporadik dan kes COVID-19 tidak bergejala khususnya di kawasan sesak dan berisiko tinggi.
Antara Tindakan Kesihatan Awam Kendiri yang boleh diambil oleh masyarakat adalah seperti berikut;
- Kekal duduk di rumah sekiranya tiada urusan penting di luar;
- Sekiranya perlu keluar, patuhilah arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN);
- Optimakan penggunaan teknologi komunikasi untuk kekal berhubung dengan sahabat-sahabat dan sanak-saudara;
- Gunakan perkhidmatan atas talian sekiranya perlu membuat sebarang pembelian;
- Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan. Bawa keputusan ujian dan hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di daerah/negeri anda untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid-19.moh.gov.my/hotline ;
- Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Anda berisiko menjangkiti orang lain. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan dengan segera; dan
- Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 sebagai langkah menyahut seruan kerajaan dalam membentuk imuniti kelompok.