COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

FENOMENA ‘HAPPY HYPOXIA’ DI KALANGAN PESAKIT COVID-19

/ Happy Hypoxia

Happy hypoxia di kalangan pesakit COVID-19 bukan merupakan satu entiti penyakit. Ia adalah keadaan di mana pesakit COVID-19 dalam Kategori 4 (pesakit mengalami pneumonia/radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) tidak menyedari mereka mempunyai kadar oksigen yang rendah dalam badan.

Kebiasaannya apabila seseorang individu mempunyai ketepuan oksigen yang rendah di dalam darah, mereka akan sukar bernafas, namun bagi pesakit COVID-19 Kategori 4 yang mengalami happy hypoxia, mereka hanya berasa kelesuan tanpa kesukaran bernafas. Mereka hanya berasa lesu teruk sehingga tidak mempunyai tenaga untuk melakukan akitiviti asas seperti makan, mandi dan sebagainya.

Pesakit COVID-19 yang lazimnya berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 Kategori 4, turut berisiko mengalami happy hypoxia yang mana ia dipengaruhi oleh faktor umur serta komorbid yang dihidapi oleh seseorang pesakit. Data klinikal KKM menunjukkan pesakit COVID-19 yang berumur 40 tahun ke atas dan mempunyai komorbid merupakan golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 Kategori 4 dan 5 (tahap teruk).

Oleh itu, bagi individu yang merupakan kontak rapat, disyaki atau disahkan COVID-19 perlu menjalankan penilaian kendiri setiap hari dengan memantau tanda dan gejala yang berkaitan dengan penyakit COVID-19 seperti demam, batuk, sakit tekak, sakit kepala, kelesuan, hilang deria rasa atau deria bau secara tiba-tiba. Disamping itu, mereka juga perlu melihat kepada tanda atau gejala yang berkemungkinan menunjukkan oksigen yang rendah di dalam darah seperti:

  • Kelesuan yang teruk;
  • Berpeluh banyak walaupun tidak melakukan sebarang aktiviti fizikal;
  • Perubahan warna bibir atau kulit menjadi kebiruan

Bagi individu yang mempunyai pulse oximeter, pemantauan tahap ketepuan oksigen boleh dilakukan dengan mengikut prosedur yang ditetapkan. Alat yang digunakan hendaklah memenuhi standard perubatan.

KKM juga menasihatkan agar individu yang merupakan kontak rapat, disyaki atau disahkan COVID-19 yang menjalani pemantauan di rumah perlu mendapatkan rawatan segera atau menghubungi talian kecemasan atau CAC berdekatan dengan segera sekiranya mengalami kesukaran bernafas atau gejala yang berkaitan happy hypoxia atau bacaan pulse oximeter menjadi rendah.

Manakala bagi individu-individu yang menunjukkan tanda dan gejala COVID-19 pula perlu mendapatkan nasihat perubatan dan menjalani ujian saringan COVID-19 sekiranya perlu.

HappyHypoxia

Disediakan oleh;
CPRC PERKHIDMATAN HOSPITAL
PROGRAM PERUBATAN
Tarikh: 28 Jun 2021
Rujuk : FB Program Perubatan KKM

Next Post Previous Post