PENAMBAHAN SINGAPURA DALAM SENARAI NEGARA YANG MELAPORKAN PENULARAN DALAM KOMUNITI VARIANT OF CONCERN (VOC) SARS-COV-2
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) Bilangan 30 Tahun 2021 pada 7 Mei 2021 telah bersetuju untuk menyenaraikan negara Singapura sebagai salah sebuah negara yang melaporkan penularan Variant of Concern (VOC) SARS-CoV-2 dalam komuniti. Ia berdasarkan kepada laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura, di mana laporan kes tersebut melibatkan varian Afrika Selatan B.1.351, varian United Kingdom B.1.1.7, varian Brazil B.1.1.28 (P1), termasuklah Variant of Interest (VOI) dari India iaitu B.1.617.1.
Sejajar dengan perkembangan ini, Sidang Khas MKN telah memutuskan semua pengembara yang masuk ke Malaysia dari Singapura dan pengembara yang menggunakan kemudahan Skim Periodic Communicating Arrangement (PCA) perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh kerajaan bermula pada 13 Mei 2021. Para pengembara dari Singapura juga tertakluk kepada SOP kemasukan pengembara dari negara-negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti.
Selain itu, Sidang Khas MKN juga telah bersetuju Skim Reciprocal Green Lane (RGL) Malaysia-Singapura digantung sementara waktu di peringkat Malaysia bermula pada 13 Mei 2021. Pengembara dari Singapura yang ingin memasuki Malaysia bagi tujuan perniagaan perlu menggunakan saluran One Stop Centre (OSC) yang disediakan oleh pihak Lembaga Pembangunan Malaysia (MIDA).
KKM akan sentiasa mengemaskini senarai negara dengan penularan VOC SARS-CoV-2 dalam komuniti dan akan memaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM