SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI SPIKE PROTEIN COVID-19 DI MALAYSIA
Hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) ke atas sampel COVID-19 dari 17 Mei 2021 sehingga 23 Mei 2021 telah mengenalpasti dan mengesahkan kewujudan 13 lagi kes Variant of Concern (VOC):
- 12 kes baharu yang dijangkiti varian South African B.1.351 telah dikesan di Kedah, Perlis, Pulau Pinang, Selangor, dan Johor; dan
- Satu (1) kes baharu warganegara yang dijangkiti varian Indian B.1.617 (sublineage B.1.617.2) telah dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Sehingga kini, jumlah keseluruhan kes COVID-19 yang dijangkiti oleh varian South African B.1.351 adalah sebanyak 78 kes dan varian Indian B.1.671 (termasuk sublineage B.1.617.1 dan B.1.617.2) adalah sebanyak enam (6) kes.
Varian South African B.1.351

Varian Indian B.1.617.2
Satu (1) kes melibatkan warganegara Malaysia telah dikesan positif COVID-19 dengan varian Indian B.1.617.2. Kes merupakan kontak rapat kepada warganegara India yang sama-sama menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Labuan pada 23 April 2021. Warganegara India tersebut telah dikesan positif COVID-19 sewaktu dalam tempoh kuarantin. Kes warga tempatan ini mempunyai gejala pada 3 Mei 2021 dan menjalani ujian RTK-Ag pada hari yang sama, seterusnya dikesan positif RT-PCR pada 4 Mei 2021.
Sebagai makluman, Kerajaan Malaysia telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula dari 25 Mei 2021 sehingga 7 Jun 2021 setelah mengambil kira status perkembangan pandemik COVID-19 di negara yang semakin membimbangkan dan kemunculan varian-varian baharu dalam komuniti. Seperti yang telah diketahui, varian baharu ini mempunyai kadar kebolehjangkitan COVID-19 dan kematian yang lebih tinggi.
Sehubungan itu, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, meningkatkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.
Justeru, orang ramai dinasihatkan untuk terus mengamalkan Kawalan Pergerakan Kendiri di rumah atau “PKP Kendiri” dengan penuh tanggungjawab. Bagi tempoh dua (2) minggu ini duduklah di rumah jika tiada keperluan yang mendesak untuk keluar. Sekiranya perlu keluar, patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan dan lindungi diri seperti yang sering dinasihatkan oleh KKM. Kita memerlukan tempoh masa ini bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM