COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Infomasi Semasa Berkaitan Katil ICU (Katil Rawatan Kritikal)

Semasa pandemik ini, terdapat dua kategori katil ICU atau katil rawatan kritikal yang dilaporkan KKM iaitu jumlah katil ICU keseluruhan dan katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19.
Ini kerana selain daripada pesakit kritikal COVID-19, ICU juga masih perlu menerima dan merawat pesakit kritikal bukan COVID-19. Sebagai contoh, jika sesebuah hospital mempunyai 20 buah katil ICU, berkemungkinan 10 buah daripadanya dikhaskan untuk pesakit COVID-19 (katil ICU untuk COVID-19), manakala bakinya digunakan bagi merawat kes-kes kritikal bukan COVID-19.

Jumlah katil ICU untuk COVID-19 ini juga sangat dinamik. Dalam keadaan di mana jumlah kes kritikal COVID-19 berkurangan, katil ICU untuk COVID-19 mungkin dikurangkan oleh sesebuah Jabatan Kesihatan Negeri supaya lebih banyak pesakit bukan COVID-19 dapat dimasukkan ke ICU. Sebaliknya, apabila terdapat penambahan kes COVID-19, bilangan katil ICU yang dikhususkan untuk pesakit COVID-19 juga ditambah. Bagi meningkatkan kesiapsiagaan, sesebuah hospital juga boleh menukar fungsi (repurpose) lain-lain kawasan di dalam hospital seperti wad biasa untuk dijadikan ICU sementara dengan melengkapkan katil-katil dengan peralatan perubatan tertentu.

Buat masa ini, terdapat 1,388 katil ICU keseluruhannya (untuk pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19) di 78 buah hospital KKM dan hospital pengajar (bawah universiti) seluruh negara yang merawat pesakit COVID-19. Daripada jumlah ini, 850 katil ICU dikhaskan untuk pesakit COVID-19.

Sebagai mana yang tertera di dalam graf, jumlah katil ICU untuk pesakit COVID-19 ini ditingkatkan dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan perawatan pesakit COVID-19. Ada katil ini diwujudkan secara “repurpose” melalui peruntukan yang diberikan kepada beberapa hospital KKM semenjak tahun lepas lagi. Peruntukan ini digunakan untuk perolehan peralatan kritikal seperti katil pesakit, patient monitor, syringe/infusion pumps, video laryngoscope, powered air-purifying respirators (PAPR) dan sebagainya.

Walaupun jumlah katil ICU untuk COVID-19 sentiasa dipertingkatkan, dukacita dilaporkan kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 buat masa ini telah mencecah 80% di seluruh negara. Negeri-negeri seperti WP Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Sarawak, Kedah dan Perak mencatat kadar penggunaan melebihi 80% dan terdapat hospital yang mana katil ICU untuk COVID-19 telah digunakan sepenuhnya.

Negara sedang berhadapan dengan peningkatkan kes COVID-19 yang mempunyai gejala serius (kategori 4 & 5) yang memerlukan bantuan oksigen dan bantuan alat pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas dan mereka yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity).

Saya menyeru rakyat Malaysia untuk terus mematuhi SOP. Keluar rumah apabila perlu sahaja dan elakkan pergi ke kawasan yang sesak. Sama-sama kita memutuskan rantaian jangkitan virus COVID-19. Lindungilah mak, ayah dan ahli keluarga kita yang tersayang.

katilicu

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Next Post Previous Post