COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI “PROTEIN SPIKE” COVID-19 DI MALAYSIA

Sehingga 14 April 2021, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Institut Kesihatan Negara (NIH), KKM telah menjalankankan analisis terhadap lebih daripada 273 turutan jujukan genom penuh virus SARS-CoV-2 (COVID-19) dari sampel klinikal. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 128 turutan jujukan genom penuh telah dijalankan pada tahun 2020 dan 145 turutan jujukan genom penuh telah dijalankan dalam tahun 2021 (sehingga April 2021). Daripada 145 turutan jujukan genom penuh setakat tahun ini, 22 kes (15.2%) adalah jenis Variants of Concerns (VOC) manakala 123 kes (85.8%) merangkumi varian bukan VOC yang majoritinya adalah jenis B.1.524.

Survelan genomik virus COVID-19 menunjukkan bahawa virus tersebut mengalami perubahan dari semasa ke semasa apabila terdapat kemasukan varian yang lain dari luar negara. Sebagai contoh, virus yang terlibat dalam gelombang pertama dapat dikelaskan sebagai Clade L, Lineage Wuhan B ancestral, iaitu berasal dari Wuhan dan disebarkan oleh individu yang berasal dari Wuhan, China. Seterusnya Malaysia dilanda oleh gelombang kedua yang merangkumi beberapa clade dikaitkan dengan pelbagai kluster termasuk Kluster Sri Petaling.

Kini, gelombang ketiga yang bermula di Sabah selepas Kluster Benteng LD pula melibatkan pengenalan varian yang mempunyai mutasi D614G serta A701V. Lineage yang paling ketara semasa gelombang ketiga adalah B.1.524 yang merupakan varian yang paling banyak dalam jumlah turutan jujukan genom penuh setakat ini.

Pengesanan Variant of Concern (VOCs)

Sejak 3 Februari 2021,Variant of Concerns (VOCs) mula dikesan di Malaysia di mana dua (2) kes pertama varian UK B.1.1.7 telah dikesan melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangasa (PMA). Saringan di PMA seterusnya mengesan dua (2) kes varian Nigerian B.1.525 pada 5 Mac 2021.

Pada 18 Mac 2021, varian South Afican B.1.351 pula telah ditemui di kalangan dua (2) kakitangan syarikat yang berpengkalan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Kluster Jalan Lima serta satu (1) kes masing-masing dari Kluster Kebun baru dan saringan kontak rapat. Bagi mengesan sejauh mana penyebaran lineage B.1.351, lebih banyak kes-kes di kawasan geografi yang berdekatan termasuk daerah Kuala Langat dan daerah Sepang telah dijalankan turutan jujukan genom penuh.

Sehingga 14 April 2021, sejumlah 17 kes positif COVID-19 jangkitan tempatan telah dikenal pasti dijangkiti dengan varian South African B.1.351 di Malaysia. Sehingga kini, analisis filogenetik serta hubungkait geografi menunjukkan kebarangkalian kes-kes tersebut adalah daripada punca jangkitan yang sama.

Jadual menunjukkan varian South Africa B.1.351 yang terdapat di dalam kluster-kluster dan saringan kontak rapat.

jadual1

Berikut adalah ringkasan survelan genomik untuk negeri-negeri lain:

jadual2

Selain daripada negeri-negeri yang disebut di atas, Unit Virologi IMR juga menerima sampel dari Perak, Pahang dan Terengganu. Tetapi turutan jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan. Ini disebabkan oleh tahap viral load yang rendah dalam sampel-sampel yang diterima. Namun Unit Virologi IMR masih meneruskan survelan genomik yang merangkumi banyak kes-kes penting di Malaysia.

KKM akan sentiasa mengambil langkah sewajarnya bagi mencegah berlakunya limpahan varian baru ke Malaysia. Sebarang perkembangan lanjut mengenai perkara ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Sumber : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post