SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI KES COVID-19 VARIAN UK B.1.1.7
KKM ingin memaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua (2) kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 telah dikesan di Malaysia. Ini menjadikan jumlah kes bagi varian UK B.1.1.7 adalah sebanyak lima (5) kes sehingga 15 April 2021.
Dua (2) kes terbaru iaitu kes keempat dan kelima adalah merupakan pengembara warganegara Malaysia yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara Poland pada bulan Mac 2021. Kedua-dua pengembara tersebut didapati positif pada 30 Mac 2021 dan telah diberikan rawatan selanjutnya.
Analisis filogenetik pula menunjukkan kes keempat yang dijangkiti dengan varian UK B.1.1.7 mempunyai persamaan ketara dengan varian dari negara Poland dan mempunyai kebarangkalian tinggi bahawa kes tersebut mendapat jangkitan ketika berada di negara tersebut. Walau bagaimanapun, punca jangkitan bagi kes kelima pula tidak dapat ditentukan kerana analisis menunjukkan perbezaan bagi varian yang menjangkiti kes tersebut. Ini juga menunjukkan bahawa kedua-dua kes ini mendapat jangkitan melalui sumber yang berlainan.
Adalah diingatkan bahawa varian UK B.1.1.7 dan varian South African B.1.351 yang telah dikesan di Malaysia boleh menular dengan mudah dan cepat walaupun banyak kajian saintifik masih berjalan untuk mengkaji gejala dan kesan jangkitan varian-varian ini. Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa. KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Pusat Kesiapsagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi di negara ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa.