COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Status Permohonan untuk Kuarantin di Tempat Kediaman dan Pengecualian Kuarantin di Stesen Kuarantin bagi Pengembara yang Tiba dari Luar Negara

Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan - 30 Mac 2021

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada isu yang tular di dalam media sosial berkaitan permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin bagi pengembara yang tiba dari luar negara.

Kerajaan Malaysia komited dalam mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia. Pelbagai strategi telah dan sedang dilaksanakan bagi menangani penularan penyakit ini. Antaranya termasuklah kawalan sempadan negara, saringan COVID-19 di semua pintu masuk antarabangsa negara, pelaksanaan perintah kuarantin wajib di tempat kediaman atau stesen kuarantin, melindungi golongan rentan, pemerkasaan komuniti dan lain-lain. Memandangkan pengembara dari luar negara terutamanya negara dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi membawa risiko penularan jangkitan penyakit ini ke dalam negara Malaysia, Kerajaan menetapkan semua pengembara yang tiba dari luar negara hendaklah menjalani perintah kuarantin wajib bagi satu tempoh yang ditetapkan.

Susulan itu, Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bilangan 11 Tahun 2020 bertarikh 30 Mac 2020, telah memutuskan bahawa semua pengembara warganegara dan bukan warganegara (Person Under Surveillance – PUS) yang tiba di Malaysia dari luar negara dikenakan perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh Kerajaan Malaysia. Ia adalah berdasarkan kepada peruntukan di bawah subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Keputusan ini berkuatkuasa pada 3 April 2020.

Mulai 3 April 2020 sehingga 9 Jun 2020, semua pengembara perlu menjalani perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin sama ada secara percuma bagi warganegara atau dengan pembayaran sendiri oleh bukan warganegara. Seterusnya dari 10 Jun hingga 23 Julai 2020, PUS warganegara telah dibenarkan kuarantin di tempat kediaman manakala tiada perubahan arahan bagi bukan warganegara. Walaubagaimana pun, terdapat PUS warganegara yang sedang menjalani perintah kuarantin wajib di tempat kediaman telah didapati melanggar perintah ini, seperti keluar dari tempat kediaman bagi aktiviti sosial seperti makan di luar, membeli belah di pasaraya dan ada juga yang memotong sendiri gelang pengawasan mereka. Oleh itu, Kerajaan telah mewajibkan semula PUS warganegara menjalani kuarantin di stesen kuarantin, dengan bayaran sendiri, mulai 24 Julai 2020 sehingga kini.

Untuk makluman, pengembara (Person Under Surveillance – PUS) yang sedang menjalani kuarantin adalah berisiko untuk menularkan jangkitan kepada orang yang berada di sekitarnya. Berdasarkan pemantauan Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat 27 kluster COVID-19 yang melibatkan kes indeks dalam kalangan pengembara yang tiba dari luar negara dengan sejumlah 2,019 kes positif dilaporkan dalam tempoh 4 Mac 2020 sehingga 26 Mac 2021.

Sejak dari pelaksanaan kuarantin wajib di stesen-stesen kuarantin ini, KKM telah menerima permohonan-permohonan sama ada untuk pengecualian kuarantin wajib atau kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin. KKM telah menyemak permohonan-permohonan yang diterima ini dan mendapati terdapat situasi yang mana memerlukan pertimbangan KKM kepada kes-kes tertentu. Kebanyakan permohonan adalah kerana masalah kesihatan pemohon sendiri manakala ada yang memohon untuk diberi kelonggaran kuarantin di tempat kediaman dengan alasan ingin menjaga ahli keluarga yang sakit. Di samping itu, terdapat permohonan untuk menjalani kuarantin di hospital bagi pesakit bukan COVID-19 yang memerlukan rawatan lanjut di Malaysia.

Sehubungan itu, KKM telah menyediakan kriteria untuk membuat penilaian ke atas semua permohonan kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin. Kriteria yang diambil kira dalam membuat penilaian risiko tersebut termasuk; negara dari mana pengembara datang atau lawati, status kesihatan, umur dan kesesuaian tempat kediaman untuk menjalani prosedur kuarantin serta pelawat perniagaan antarabangsa jangka pendek (Short Term Business Travellers – STBT) yang perlu memenuhi syarat-syarat tertentu dan pematuhan kepada Prosedur Amalan Standard (SOP) yang ketat.

Sejak 24 Julai 2020 sehingga 27 Mac 2021, seramai 157,379 orang pengembara telah tiba di Malaysia. Daripada jumlah ini, seramai 61,931 pengembara telah pulang ke Malaysia dalam tempoh 1 Januari 2021 hingga 27 Mac 2021 di mana:

  • 61,462 orang (99.2%) telah dikuarantin wajib di stesen kuarantin;
  • 409 orang (0.7%) kuarantin wajib di tempat kediaman;
  • 31 orang (0.05%) kuarantin di hospital; dan
  • 29 orang (0.05%) adalah STBT.

Sejak 1 Januari hingga 27 Mac 2021, sebanyak 2,743 permohonan untuk kuarantin di tempat kediaman dan pengecualian kuarantin di stesen kuarantin telah diterima. Daripada jumlah ini, sebanyak 409 permohonan diluluskan untuk menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman. Kelulusan permohonan ini adalah berdasarkan kepada penilaian risiko jangkitan menggunakan kriteria yang telah ditetapkan dan butiran adalah seperti berikut:

  • 138 orang (34.1%) adalah disebabkan oleh masalah kesihatan;
  • 109 orang (26.7%) adalah penjaga kepada pengembara yang mengalami masalah kesihatan;
  • 14 orang (3.4%) mempunyai sejarah positif COVID-19;
  • 14 orang (3.4%) di bawah Periodic Commuting Arrangement / Reciprocal Green Lane (PCA/RGL);
  • 23 orang (5.6%) kanak-kanak berumur di bawah umur 16 tahun (pulang tanpa pengawasan penjaga);
  • 14 orang (3.4%) untuk menguruskan pengkebumian ahli keluarga yang meninggal dunia (dengan diiringi petugas Pejabat Kesihatan Daerah);
  • 5 orang (1.2%) warga emas; dan
  • 92 orang (22.5%) lain-lain justifikasi yang dipertimbangkan setelah penilaian risiko dijalankan.

Manakala seramai 285 orang (10.4%) daripada jumlah keseluruhan permohonan ini telah diberi pelepasan masa (time off) untuk menziarahi ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengkebumian ahli keluarga.

Bagi mereka yang memohon untuk melawat ahli keluarga yang sakit atau menghadiri pengkebumian ahli keluarga yang meninggal dunia, pengembara (Person Under Surveillance – PUS) tersebut akan diberi pelepasan masa (time-off) dan perlu kembali semula ke stesen kuarantin untuk memenuhi tempoh wajib kuarantin. Semua PUS tersebut dikehendaki mematuhi SOP yang ketat oleh KKM semasa tempoh ziarah atau lawatan ini. Sementara itu, kenderaan dan pengiring untuk lawatan tersebut diuruskan di stesen kuarantin oleh pihak Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Sebagaimana sedia maklum, kebanyakan negara yang mempunyai akses kepada bekalan vaksin COVID-19 telah memulakan pemberian imunisasi vaksin COVID-19 kepada rakyat masing-masing sejak penghujung tahun 2020. Namun begitu, lebih banyak maklumat dan kajian adalah diperlukan bagi melihat kesan vaksin COVID-19 seperti dalam mengurangkan penularan jangkitan oleh penerima vaksin dan tempoh imuniti seseorang yang telah menerima vaksin COVID-19. Justeru, pihak WHO belum lagi mengesyorkan vaksin COVID-19 boleh digunakan sebagai pasport imuniti (immunity passport) bagi sebarang perjalanan. Oleh itu, pengembara yang telah mempunyai bukti penerimaan vaksin COVID-19 tidak terkecuali daripada keperluan untuk mematuhi sebarang langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19 yang ditetapkan termasuk menjalani kuarantin wajib.

Sehubungan itu, KKM telah memutuskan pada 12 Mac 2021 bahawa penilaian risiko perlu dilaksanakan terhadap pengembara yang telah mendapat imunisasi COVID-19 yang lengkap dan dalam masa yang sama memohon untuk pengecualian kuarantin di stesen kuarantin. Kriteria yang digunapakai dalam penilaian risiko ini termasuk bukti telah mengambil vaksin COVID-19 yang lengkap, pengembara dari negara yang berisiko rendah, mempunyai tempat kediaman yang bersesuaian untuk pelaksanaan kuarantin termasuk tiada risiko pendedahan jangkitan kepada ahli keluarga / individu serumah dan keputusan ujian pengesanan COVID-19 yang negatif. Bagi pengembara yang memenuhi kriteria di atas, mereka boleh diberi kelonggaran untuk menjalani perintah kuarantin wajib di tempat kediaman namun tertakluk kepada syarat-syarat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan semasa dalam tempoh kuarantin ini bagi memastikan jangkitan COVID-19 tidak menular kepada orang lain.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan COVID-19 dalam dan luar negara di mana saringan jangkitan penyakit ini di kalangan pengembara dari luar negara turut diteruskan di semua Pintu Masuk Antarabangsa Malaysia. Orang ramai juga akan terus dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan terkini mengenai situasi COVID-19 di dalam negara serta langkah-langkah yang dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitannya.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
30 Mac 2021

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Previous Post