LAWATAN KHAS KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE KLINIK KESIHATAN KUALA LUMPUR
LAWATAN KHAS KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG KE KLINIK KESIHATAN KUALA LUMPUR BAGI MENINJAU AKTIVITI BERKAITAN VAKSINASI COVID-19 PADA 16 MAC 2021 (SELASA)
KUALA LUMPUR, 16 MAC 2021 - KDYMM SPB YDPA, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah telah mencemar duli berangkat ke Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) pada 16 Mac 2021 untuk meninjau aktiviti berkaitan dengan vaksinasi COVID-19, terutamanya berkaitan KKKL sebagai Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Turut serta di dalam majlis ialah Yang Berhormat Dato’ Sri Dr. Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berbahagia Dato’ Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, Yang Berbahagia Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yang Berbahagia Datuk Dr. Param Jeeth Singh a/l Pakar Singh, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya.
Aturcara bermula dengan sembah taklimat oleh Dr. Baizury binti Bashah, Pakar Perunding Perubatan Keluarga, merangkap Ketua Klinik, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. Usai taklimat, Baginda seterusnya meninjau ke bilik penyimpanan vaksin yang juga menempatkan peti sejuk suhu ‘ultra rendah’ atau ‘Ultra Low Temperature Fridge (ULTF)’. Sembah taklimat ringkas tentang penyimpanan vaksin disampaikan oleh Pegawai Farmasi KKKL, Cik Hor Yee Yee.
Seterusnya Baginda dan rombongan diiringi ke enam stesen berkaitan pemberian vaksin, bermula dengan stesen saringan gejala, kaunter pendaftaran, stesen kaunseling dan stesen persetujuan penerimaan vaksin. Di stesen vaksinasi, Baginda telah berkenan menyaksikan petugas-petugas kesihatan yang terdiri daripada Pembantu Pegawai Perubatan, Mohd Farouq bin Mohd Hattar dan Jururawat Kesihatan Umum Anita binti Mat Sin memberi vaksinasi kepada 2 orang petugas barisan hadapan; Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Encik Muhammad Asyaraf bin Zulkifli dan Encik Mohd Hafiz bin Sayuti.
Dua stesen yang terakhir adalah stesen di mana penerima vaksin dipantau selama 15 sehingga 30 minit jika terdapat kesan sampingan. Stesen yang terakhir ialah stesen ke 6 iaitu untuk mendapatkan tarikh temujanji bagi dos kedua vaksin. Sepanjang tinjauan di stesen-stesen ini, Baginda telah disembah taklimat oleh Dr. Baizury binti Bashah.
Bermula sejak 25 Februari 2021 sehingga 16 Mac 2021, dengan vaksinasi petugas barisan hadapan yang disaksikan oleh Baginda, KKKL telah berjaya menjalankan vaksinasi kepada 2490 orang, iaitu mencapai 99.76% daripada sasaran yang telah dipertanggungjawabkan kepada pasukan KKKL, manakala baki 6 orang penerima lagi telah dijadualkan pada 17 Mac 2021. Untuk dos kedua vaksinasi akan bermula pada 18 Mac 2021 ini.
Baginda telah meluangkan masa selama 1 jam di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur, mulai dari 2.40 petang sehingga 3.40 petang sebelum berangkat pulang.
Rujuk : FB KKM