COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Selepas melakukan lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Pasir Gudang pagi tadi, saya juga telah berkesempatan melawat COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang terletak bersebelahan stadium tersebut. CAC ini dikendalikan oleh para petugas dari tujuh buah klinik kesihatan berhampiran termasuk Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Klinik Kesihatan Masai.

CAC ini adalah salah sebuah daripada 11 CAC di negeri Johor. CAC berperanan untuk menilai pesakit COVID-19 kategori 1 & 2 yang memenuhi kriteria untuk pengasingan di rumah (home isolation) setelah melalui stratifikasi risiko, saringan fizikal dan penilaian kesesuaian rumah sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah.

Manakala bagi CAC Pasir Gudang ini, ianya mula beroperasi sejak 31 Januari 2021 sebagai pusat setempat pengurusan pandemik. Sehingga 8 Mac 2021, seramai 15,460 orang pesakit telah menerima perkhidmatan di CAC ini. Daripada jumlah tersebut, seramai 4,808 kes positif telah dikendalikan, manakala seramai 9,454 kontak rapat telah hadir bagi tujuan penerimaan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (Home Surveillance Order, HSO) dan ujian swab COVID-19. CAC ini juga telah mengendalikan seramai 1,198 pesakit bagi tujuan-tujuan lain seperti pelepasan perintah HSO.

Jika kita imbas kembali, kes pertama positif COVID-19 di negara kita merupakan kes import yang telah dilaporkan pada 25 Januari 2020 di negeri Johor. Kini, telah lebih setahun para petugas barisan hadapan kita berkerja keras tanpa henti. Bersama-samalah kita semua membantu frontliners kita dengan mematuhi SOP dan segeralah mendaftar untuk divaksinasi agar rantaian jangkitan virus COVID-19 dapat diputuskan.

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Next Post Previous Post