Kluster COVID-19 dengan kes indeks tidak dikenal pasti dan melanggar arahan
Sebanyak 1,237 kluster COVID-19 telah berjaya dikenal pasti oleh KKM sejak gelombang kedua bermula 17 Feb 2020 sehingga 14 Mac 2021.
Daripada jumlah itu, 813 kluster telah diisytiharkan tamat selepas tiada kes baharu selama 28 hari dan 424 adalah kluster aktif.
Kudos kepada petugas-petugas KKM terutama di lapangan yang bertungkus lumus mengesan kontak rapat menggunakan maklumat dari kes indeks. Kes indeks adalah individu pertama yang disahkan positif dan telah menyebabkan jangkitan sekurang-kurang kepada seorang yang tinggal berasingan. Tidak semua kluster berjaya dikenal pasti kes indeks. Contohnya Kluster Eksekutif dan Perhimpunan Sri Petaling.
-
Kluster Eksekutif (UDA) - antara kluster awal dalam gelombang kedua melibatkan rakyat Malaysia pulang dari luar negara.
Kes ke-26 awalnya dikenal pasti sebagai kes indeks. Namun, kes ke-33 juga pernah menghadiri mesyuarat yang sama dengan kes ke-26 di China. Siapa dulu yang dijangkiti, tidak dapat dipastikan. -
Kluster Perhimpunan Sri Petaling- sehingga kini kes indeks tidak diketahui.
Perhimpunan tahunan itu dihadiri lebih 10,000 peserta dari seluruh dunia termasuk dari negara-negara yang mencatatkan kes jangkitan tinggi ketika itu antaranya India, Pakistan, Iran dan negara-negara Timur Tengah lain. Untuk mengenal pasti kes indeks adalah mustahil. Kes ke-136, rakyat tempatan yang pernah ke Korea Selatan dan turut menghadiri perhimpunan itu, bukan kes indeks seperti yang didakwa.
Beberapa kluster juga menjadi tumpuan ramai kerana kes indeks yang melanggar arahan.
-
Kluster PUI Sivagangga - kluster paling kontroversi kerana melibatkan kes indeks yang pulang dari luar negara yang gagal mematuhi arahan HSO.
Kes indeks adalah pemegang status PR telah dihukum penjara dan denda oleh mahkamah.
Susulan kes itu, kerajaan mewajibkan semua individu yang memasuki negara ini menjalani kuarantin wajib dan menanggung sendiri kos bermula 24 Julai 2020.
Virus COVID-19 bermutasi dikenali D614G yang dikesan dalam kluster ini menyebabkan jangkitan cepat merebak. -
Kluster Tembok LD, Sabah - kes indeks melibatkan pendatang tanpa izin yang ditahan di lokap polis di Lahad Datu dan menjangkiti tahanan lain. Jangkitan menular di penjara di Tawau selepas pemindahan tahanan.
Susulan itu, pihak berkuasa disaran menggunakan PPE apabila melakukan penahanan atau pemeriksaan ke atas PATI.
Kluster Tembok LD ini adalah pencetus penularan jangkitan di Sabah yang berpunca dari warga asing. -
Kluster Pasai, Sarawak - kluster rentas negeri terbesar setakat ini melibatkan hampir 3,000 kes positif.
Kes indeks pulang ke Sibu dari Johor untuk majlis pengkebumian mendiang bapanya.
Dia dikuarantin di rumah panjang di Pasai Siong dan menghadiri majlis pengkebumian di tanah perkuburan berhampiran.
Ekoran itu, 8 rumah panjang dikenakan PKP. Sehingga kini, kluster ini masih aktif. -
Kluster PUI Itali, Sarawak - kes indeks dikenal pasti selepas kematian 5 sekeluarga.
Kes indeks pernah ke Itali tetapi dikatakan tidak kuarantin kendiri dan menyebarkan jangkitan kepada rakan sekerja sehingga menyebabkan 5 kematian itu.
Sumber : FB KKM