COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

VAKSIN COVID-19 - KKM Menandatangi Dokumen Terms Sheet Bersama Syarikat Pharmaniaga dan Duopharma

KENYATAAN AKHBAR -- KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA MENANDATANGANI DOKUMEN TERMS SHEET DENGAN SYARIKAT PHARMANIAGA LIFESCIENCE SDN BHD. DAN DUOPHARMA (M) SDN. BHD. UNTUK PEROLEHAN VAKSIN COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mewakili Kerajaan Malaysia telah menandatangani dokumen Terms Sheet dengan 2 syarikat pembekal vaksin iaitu syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. (PLS) dan Duopharma (M) Sdn. Bhd. pada 26 Januari 2021 untuk perolehan sebanyak 18.4 juta dos vaksin yang meliputi 28.75% dari populasi rakyat Malaysia.
Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba telah menandatangani bagi pihak KKM, manakala Pengarah Urusan PLS, Datuk Zulkarnain Md Eusope dan Pengarah Urusan Kumpulan Duopharma Biotech Berhad, Leonard Ariff Abdul Shatar, mewakili pihak masing-masing.
Syarikat PLS akan membekalkan sebanyak 12 juta dos COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated yang dihasilkan oleh Sinovac Life Science Co. Ltd. Pembekalan vaksin ini dijangka dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan April 2021.
Manakala, Syarikat Duopharma (M) Sdn. Bhd. pula akan membekalkan sebanyak 6.4 juta dos vaksin Sputnik V yang dihasilkan oleh Gamaleya Research Institute of Epidemiology and Microbiology di Russia. Vaksin ini dijangka akan mula dibekalkan secara berperingkat mulai penghujung bulan Mac 2021.
Bagi vaksin COVID-19 CORONAVAC, SARS-COV-2 Vaccine (Vero Cell) Inactivated, setiap penerima akan diberikan 2 dos suntikan vaksin di mana suntikan dos kedua adalah selepas 14 hari dari dos pertama. Dengan jumlah 12 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 6 juta orang atau 18.75% daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas.
Bagi vaksin Sputnik V pula, setiap penerima akan menerima sebanyak 2 dos suntikan di mana suntikan dos kedua adalah selepas 21 hari dari dos pertama. Dengan jumlah 6.4 juta dos ini, KKM menjangkakan liputan program imunisasi kepada 3.2 juta orang atau 10% daripada jumlah populasi di Malaysia, berusia 18 tahun ke atas.
Pembekalan vaksin dari kedua-dua syarikat ini akan dimulakan setelah mendapat kelulusan dari Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (Drug Control Authority).
KKM sebelum ini telah menandatangani perjanjian pembekalan vaksin dengan syarikat Pfizer dan AstraZeneca. Jumlah dos vaksin yang telah diperolehi dari kedua-dua syarikat masing-masing adalah sebanyak 24.28 juta dos dan 6.4 juta dos.
Perolehan vaksin-vaksin ini akan diselaraskan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang pada masa ini dalam proses akhir mendapat kelulusan Kerajaan.
Keutamaan Kerajaan adalah menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan Malaysia bebas daripada COVID-19 di samping pemulihan ekonomi negara. Justeru, perolehan vaksin-vaksin ini membolehkan Kerajaan berada di landasan terbaik untuk mencapai keutamaan tersebut.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post