PERKEMBANGAN FASILITI PERKHIDMATAN HOSPITAL UNTUK RAWATAN COVID-19
31 Disember 2020 - Merujuk kepada kenyataan pejabat ini yang telah diberikan pada 17 Disember 2020 melalui laman sosial Facebook, pada hari ini Program Perubatan KKM ingin memaklumkan perkembangan terkini berkenaan fasiliti perkhidmatan hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan COVID-19. Sehingga 30 Disember 2020, terdapat 146 buah hospital KKM di seluruh negara di mana daripada jumlah ini, sebanyak 120 hospital yang mampu menjalankan saringan COVID-19. Sebanyak 48 hospital KKM boleh merawat pesakit COVID-19 di samping pesakit bukan COVID-19. Selain itu, 2 hospital universiti, iaitu Pusat Perubatan Universiti Malaya dan Hospital Canselor Tunku Mukhriz, UKM yang juga turut boleh menyediakan perkhidmatan rawatan COVID-19. Ini menjadikan jumlah hospital yang mampu merawat pesakit COVID-19 di seluruh negara ialah 50 buah dengan jumlah keseluruhan katil sebanyak 6,075.
Kadar penggunaan katil hospital untuk pesakit COVID-19 setakat ini ialah 54%, iaitu kekosongan berbaki 46% lagi.
Sehingga kini terdapat 92 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) yang sedang beroperasi secara aktif dengan kapasiti katil seluruh negara sebanyak 23,156 dan kadar penggunaan katil setakat ini ialah 40%. Dengan ini, bilangan keseluruhan katil rawatan COVID-19 di hospital dan PKRC seluruh negara adalah sebanyak 29,231 dengan kadar penggunaan sebanyak 43% setakat ini, iaitu kekosongan berbaki 57% lagi.
Sehingga 30 Disember 2020, kapasiti katil ICU di seluruh negara adalah 881 katil yang digunakan untuk pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 dengan kadar penggunaan 61%. Daripada jumlah ini, sebanyak 466 katil ICU telah dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 dengan kadar penggunaan 43%. Manakala bagi bilangan ventilator, terdapat 1,583 ventilator di seluruh negara dan 626 (40%) sedang digunakan. Daripada jumlah ini, sebanyak 99 ventilator adalah untuk pesakit COVID-19 iaitu sebanyak 6%. KKM masih mempunyai kapasiti dalam merawat pesakit COVID-19 yang tenat yang memerlukan ventilator.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia
Rujuk : FB Program Perubatan KKM