COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENGURUSAN PESAKIT POSITIF COVID-19 DI MALAYSIA SEBELUM KEMASUKAN KE PUSAT RAWATAN

29 Disember 2020 - Gelombang ketiga pandemik COVID-19 di Malaysia yang bermula sejak 20 September 2020 telah memberi impak yang besar terhadap sistem kesihatan di Malaysia. Sehingga 28 Disember 2020, kumulatif kes positif COVID-19 telah mencecah 106,690 kes dengan 20,643 adalah kes yang masih aktif.
Di Malaysia semua pesakit yang disahkan positif COVID-19 termasuk yang tidak bergejala akan dirawat di pusat rawatan yang ditetapkan iaitu samaada di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). Dengan ini, pesakit COVID-19 dapat diasingkan (isolate) daripada komuniti, dan tidak menjangkiti individual lain.
Penghantaran pesakit yang disahkan positif COVID-19 ke pusat rawatan yang ditetapkan adalah diuruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang berdekatan. Ambulans yang dikenalpasti untuk membawa pesakit positif COVID-19 perlu memenuhi spesifikasi yang ditetapkan.
Sementara menunggu ambulans, pesakit telah disahkan positif semasa ujian saringan dinasihatkan menjalankan kuarantin di bilik yang berasingan di rumah. Pesakit juga perlu mengelakkan diri daripada berinteraksi dengan orang lain termasuk ahli keluarga yang tinggal bersama. Jika keadaan pesakit bertambah teruk, maka pesakit atau ahli keluarga boleh terus membuat panggilan kecemasan 999 atau panggilan ke PKD yang terdekat untuk penghantaran segera.
Selain itu, semua individu yang mempunyai sejarah kontak rapat kes positif COVID-19 atau kontak rapat kes yang disyaki positif COVID-19, adalah dinasihatkan untuk tinggal di rumah sementara menunggu hasil ujian.
KKM menyeru agar semua rakyat Malaysia patuh kepada SOP yang telah ditetapkan untuk memutuskan rantaian pandemik COVID-19.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia

Rujuk : FB Program Perubatan KKM

Next Post Previous Post