COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENGURUSAN KUARANTIN PENGEMBARA DARI LUAR NEGARA DAN KONTAK RAPAT DI MALAYSIA

Merujuk kepada Sidang Media KKM pada 4 Disember 2020, KKM telah mengumumkan untuk mengkaji pemendekan tempoh kuarantin di Malaysia ke atas prosedur pengurusan kuarantin wajib kepada pengembara yang pulang dari luar negara dan kontak rapat kepada kes yang disahkan positif COVID-19. Ini selaras dengan situasi semasa COVID-19 di Malaysia dan laporan klinikal terkini dari seluruh dunia.

Sehingga kini, beberapa buah negara telah menyemak semula tempoh masa kuarantin wajib di negara masing-masing. Negara-negara United Kingdom, Jerman dan Belgium telah menurunkan tempoh kuarantin daripada 14 hari kepada 10 hari. Manakala bagi negara Perancis pula telah mengambil tempoh masa kuarantin wajib selama 7 hari. Semakan bukti saintifik klinikal terkini mendapati bahawa risiko jangkitan pasca-kuarantin akan berkurangan mengikut tempoh masa kuarantin. Kadar kebolehjangkitan adalah tertinggi pada minggu pertama selepas pendedahan.

Justeru itu, berdasarkan pelaksanaan tempoh kuarantin oleh negara-negara lain di dunia dan laporan saintifik klinikal semasa, tempoh masa perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara yang pulang dari luar negara serta pengurusan kontak rapat di Malaysia dikurangkan daripada tempoh 14 hari kepada 10 hari. Ia terpakai bagi perintah pengawasan dan pemerhatian yang dilaksanakan di pusat kuarantin yang diwartakan atau di tempat kediaman. Perubahan ini akan berkuat kuasa bermula dari 14 Disember 2020.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post