COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Pada hari ini, saya telah membuat lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) atau dikenali sebagai PKRC MAEPS versi 2.0. Tujuan lawatan ini bagi melihat kesiapsiagaan pengoperasian pusat tersebut. Turut serta dalam lawatan ini adalah Pengarah PKRC MAEPS 2.0, Dr Shahabuddin b. Ibrahim, timbalan beliau iaitu Dr Md. Fikri b. Abu Bakar dan Dr Marzilawati bt. Abd Rahman serta Kolonel Dr. Mohd Arshil bin Moideen.

Saya turut berkesempatan memberi taklimat kepada anggota kesihatan mengenai keperluan mematuhi garis panduan serta SOP untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan petugas kesihatan. Penghargaan terima kasih kepada para petugas barisan hadapan kerana telah berbakti dan berkorban tenaga dan masa. Diharap mereka terus bersemangat untuk bersama-sama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha memerangi wabak pandemik COVID-19 ini.

Pengoperasian semula PKRC MAEPS 2.0 adalah merupakan langkah proaktif KKM bagi memastikan kesiapsiagaan hospital sentiasa berada di tahap optimum. Terdapat peningkatan kes positif COVID-19 berikutan saringan yang dijalankan ke atas pekerja khususnya warga asing di kilang dan juga tapak binaan. Kes positif COVID-19 ini kebanyakannya dari kategori 1 (pesakit yang tidak bergejala) dan kategori 2 (yang bergejala ringan). Pesakit ini telah dimasukkan ke PKRC manakala bagi pesakit COVID-19 kategori 3, kategori 4 dan kategori 5 telah dimasukkan ke hospital khusus rawatan COVID-19.

Bilangan kes positif COVID-19 turut dijangkakan meningkat memandangkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) telah memaklumkan bahawa saringan COVID-19 ke atas pekerja khususnya warga asing yang mencarum dengan PERKESO akan dilaksanakan di 6 buah negeri iaitu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Sabah dan Labuan.

PKRC MAEPS 2.0 ini dibuka secara berfasa di mana fasa pertama dimulakan dengan kapasiti 650 katil dan akan ditambah secara berperingkat mengikut keperluan. PKRC MAEPS 2.0 telahpun mula beroperasi pada 9 Disember 2020 dengan kemasukan pesakit positif COVID-19 bukan warganegara seramai 292 orang di Dewan C. Sebelum ini, mereka telah ditempatkan di Institut Latihan KKM Sungai Buloh.

Pada peringkat awal, MAEPS 2.0 ini akan menempatkan pesakit positif COVID-19 dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya dan Selangor. Seterusnya pesakit dari negeri lain seperti Negeri Sembilan, Pahang dan Perak akan ditempatkan di PKRC MAEPS 2.0 tertakluk kepada kapasiti. Dewan A boleh menempatkan sehingga 1600 pesakit manakala Dewan DG (aras bawah) juga boleh menampung sehingga 800 pesakit. Pertambahan katil di ruang lain akan diteliti berdasarkan situasi semasa.

PKRC MAEPS 2.0 akan diletakkan di bawah kawalan Ketua Komander Wilayah Tengah iaitu Pengarah Kesihatan Negeri Selangor. PKRC ini merupakan satu kolaborasi pelbagai agensi kerajaan termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba & Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan MAEPS sendiri.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon
Deputy Director-General of Health (Medical)
Ministry of Health Malaysia

Rujuk : FB Program Perubatan KKM
10/12/2020

Next Post Previous Post