Lawatan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Politeknik Port Dickson
05/12/2020
Pada hari ini, saya telah mengiringi YBhg Tan Sri Dato' Seri Dr Noor Hisham Bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia membuat lawatan ringkas ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Politeknik Port Dickson, turut hadir bersama lawatan Pengarah Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan YBhg. Datin Dr Harlina Binti Abdul Rashid. Tujuan lawatan adalah untuk melihat kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dalam menghadapi pandemik COVID-19 yang semakin meningkat disamping berjumpa dengan petugas barisan hadapan khususnya di Negeri Sembilan.
PKRC Politeknik Port Dickson yang berkemampuan untuk menempatkan 900 orang pesakit ini adalah hasil usaha sama antara Politeknik Port Dickson, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat SUK Negeri Sembilan, NADMA, APM, JKM dan agensi-agensi lain. Para petugas di PKRC ini adalah dari pelbagai agensi termasuk JKN Negeri Sembilan, APM, PDRM, JKM, RELA, Pejabat Daerah. Petugas kesihatan terdiri daripada Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat, Pegawai Pergigian, Pegawai dari Klinik Kesihatan, Pegawai Rekod, Pihak Pengurusan dan sebagainya.
Sesi dimulakan dengan lawatan ke Bilik Gerakan PKRC Politeknik Port Dickson dan seterusnya taklimat ringkas berhubung kesiapsiagaan serta status terkini perawatan pesakit COVID-19 di Negeri Sembilan yang disampaikan oleh Ketua Komanden Operasi Bencana Bahagian Perubatan Negeri Sembilan, Dr.Thinagaraj Sanniasi.
Lawatan diteruskan dengan taklimat ringkas kesiapsiagaan dari setiap Hospital dan PKRC. Negeri Sembilan memiliki 3 hospital yang merawat pesakit pesakit COVID-19 dan 5 PKRC untuk rawatan kes-kes berisiko rendah.
Secara umumnya, saya amat berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dalam menangani pandemik COVID-19. Semoga lawatan ini dapat menyuntik semangat kepada para petugas barisan hadapan di Negeri Sembilan untuk terus berbakti dalam mendepani cabaran COVID-19.
Terima kasih kepada semua frontliners dari Kementerian Kesihatan Malaysia, Politeknik Port Dickson , Pejabat Daerah , Angkatan Pertahanan Malaysia , Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan agensi-agensi lain yang turut serta.
Datuk Dr. Hj Rohaizat bin Hj Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia