COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KKM Jamin Bakal Peroleh Sekurang-kurang 50 Peratus Vaksin Diperlukan

/ VAKSIN COVID-19

19 Disember 2020 - Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan negara bakal memiliki sekurang-kurang 50 peratus jumlah vaksin COVID-19 diperlukan, termasuk melalui pemeteraian perjanjian pembelian dijadualkan pada Isnin ini.
Menteri Kesihatan, Dato' Sri Dr Adham Baba, berkata perjanjian pembelian 10 peratus daripadanya sudahpun dilakukan menerusi pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX, dan 20 peratus dengan Pfizer Inc yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, 20 peratus lagi vaksin akan dibeli melalui pemeteraian perjanjian dengan syarikat AstraZeneca berpangkalan di United Kingdom (UK), Isnin ini.
“Hari Isnin ini, saya akan membuat tandatangan dengan pihak Astrazeneca untuk mendapatkan lagi 20% vaksin. Keseluruhannya 50%. Kita akan dapatkan vaksin dari COVAX Facility, Pfizer dan daripada AstraZeneca”
"Kerajaan yakin usaha vaksinasi akan bermula suku pertama 2021 dengan keutamaan diberikan kepada petugas barisan hadapan, terutama kakitangan KKM," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Aerosol Intubation Box Sumbangan UTMShield, dekat sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan; Pengarah Jabatan Kesihatan Johor, Datuk Dr Aman Rabu; serta Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Mengulas lanjut, Dr Adham berkata, keutamaan diberikan kepada syarikat yang boleh membekalkan vaksin terbabit dengan cepat, selamat dan berkualiti, selain berdaftar dengan negara di mana ia beroperasi.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post