COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Appreciation to Frontliners & Inauguration Flight Ceremony (9M-NEW)

Saya telah mewakili Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia di Majlis Appreciation to Frontliners & Inauguration Flight Ceremony (9M-NEW) yang telah dianjurkan oleh My Jet Xpress Malaysia Sdn Bhd di Skypark Regional Aviation Centre, Shah Alam. Bersama saya di dalam majlis ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif My Jet Xpress, En. Azrul Hisham bin Dato' Abdul Wahab, al-Fadhil Ustaz Ebit Lew bersama Pertubuhan Kasih Umat Malaysia, wakil IPD Klang Selatan, Ketua Balai Bomba Sungai Buloh, dan wakil Angkatan Tentera Malaysia.

Majlis dianjurkan sempena pelancaran kapal terbang baru yang akan meningkatkan kebolehan operasi dan daya saing syarikat My Jet Xpress dalam industri logistik udara di dalam negara ini. My Jet Xpress telah memainkan peranan dalam membendung wabak COVID-19 di negara ini melalui penghantaran barang keperluan aktiviti kawalan COVID-19 ke Sabah dan juga negeri-negeri lain.

Sebagai tanda penghargaan ke atas usaha dan pengorbanan golongan frontliners yang telah bergelut dengan wabak COVID-19 di negara ini sehingga kini, kapal terbang terbaru My Jet Xpress, yang dinamakan Al-Fateha, juga mempunyai decal yang menghargai frontliners di badan kapal terbang. Selain itu, Ahli Lembaga Pengarah My Jet Xpress juga telah menyampaikan sumbangan dana sebanyak RM 10,000.00 dan juga seribu set PPE kepada Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai tanda penghargaan ke atas pengorbanan frontliners.
Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang telah diberikan, dan juga sokongan ke atas usaha membendung penularan wabak COVID-19 yang telah diambil oleh My Jet Xpress Sdn Bhd. Diharapkan usaha syarikat ini akan menjadi penunjuk arah ke banyak lagi inisiatif yang serupa melalui penggemblengan tenaga, sumber dan kepakaran dalam menamatkan wabak COVID-19 di negara ini.

Datuk Dr. Haji Rohaizat bin Haji Yon
Timbalan Ketua Pengarah (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia

Rujuk : FB Program Perubatan KKM

Next Post Previous Post