COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PELAKSANAAN PKPB BAGI MEMUTUSKAN RANTAIAN PANDEMIK COVID-19 DAN MEMBANTU KESIAPSIAGAAN HOSPITAL

/ Kesiapsiagaan KKM, PKPB

Pada masa ini, tiada garis panduan global yang jelas untuk menentukan situasi yang memerlukan sekatan pergerakan (lockdown). Keputusan yang diambil oleh setiap negara adalah dinamik berdasarkan kepada polisi, keadaan ekonomi dan pelbagai faktor lain di negara masing-masing memandangkan pandemik COVID-19 adalah satu pengalaman yang baru.

Terdapat situasi di luar negara di mana lockdown telah dijalankan apabila bilangan kes COVID-19 masih rendah. Sebagai contoh di Auckland, New Zealand, perintah lockdown telah diumumkan apabila 4 kes COVID-19 telah dilaporkan setelah 102 hari tanpa penularan tempatan (local transmission). Perintah lockdown ini bertujuan untuk mengurangkan pergerakan orang ramai tetapi pada masa yang sama kegiatan ekonomi masih dapat diteruskan. Tindakan cepat yang telah diambil oleh negara New Zealand ini telah mendapat pujian secara meluas. Selain itu, terdapat juga negara yang masih meneruskan aktiviti seperti biasa walaupun bilangan kes COVID-19 telah meningkat dengan mendadak seperti di Itali. Hal ini telah memberi tekanan terhadap sistem kesihatan mereka.

Pada 20 September 2020, Malaysia telah dilanda gelombang ketiga pandemik COVID-19. Bilangan kes COVID-19 mulai meningkat kepada tiga angka. Gelombang ketiga ini telah bermula di negeri Sabah dan juga melibatkan negeri lain di Semenanjung Malaysia seperti Kedah.

Pada 3 Oktober 2020, bilangan kes COVID-19 yang dilaporkan adalah sebanyak 317. Kadar penggunaan katil di hospital awam untuk pesakit COVID-19 pula adalah sebanyak 29% manakala kadar penggunaan katil ICU sebanyak 6%. Jumlah kes yang dilaporkan terus meningkat kepada 1755 pada 6 November 2020. Kadar penggunaan katil di hospital awam untuk pesakit COVID-19 pula adalah sebanyak 47% manakala kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 telah meningkat sebanyak 20%.

Maksud dan pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah berbeza. Kini, kerajaan telah melaksanakan PKPB (iaitu bukannya PKP atau PKPD) di semua negeri Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan bermula dari 9 November 2020 sehingga 6 Disember 2020. Keputusan ini telah dibuat antara lainnya susulan lonjakan kes COVID-19 semasa gelombang ketiga bagi memutuskan rantaian COVID-19 dengan mengurangkan pergerakan orang ramai tanpa menjejaskan aktiviti ekonomi negara, disamping membantu kesiapsiagaan hospital.

Selain itu, PKPB merupakan langkah yang pro-aktif untuk memelihara dan mengelakkan peningkatan kes di kawasan berkategori zon hijau. Tindakan ini turut membantu mengurangkan beban kerja serta tekanan kepada petugas barisan hadapan di hospital. Langkah ini memberi peluang kepada KKM untuk meningkatkan lagi kesiapsiagaan perkhidmatan hospital awam. Kini, walaupun terdapat peningkatan kes, hospital KKM masih mempunyai kemampuan menerima pesakit COVID-19 kerana peningkatan kes masih dapat dikawal melalui PKPB dan kadar penggunaan katil hospital KKM untuk pesakit COVID-19 pada 16 November 2020 ialah 55% manakala kadar penggunaan katil ICU untuk pesakit COVID-19 pula adalah sebanyak 25%.

Semasa PKPB, kebanyakan kegiatan sektor ekonomi masih dapat diteruskan dengan mematuhi SOP yang ketat. Hanya sektor atau aktiviti berisiko tinggi yang boleh mendedahkan kepada jangkitan COVID-19 tidak dibenarkan atau diperlahankan.

Diharap semua rakyat Malaysia terus bekerjasama dan mematuhi semua SOP agar rantaian COVID-19 dapat diputuskan.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat Bin Hj. Yon

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

Kementerian Kesihatan Malaysia

Next Post Previous Post