COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

MAKLUM BALAS VIDEO TULAR PESAKIT BERATUR PANJANG UNTUK MENDAPATKAN RAWATAN DI KLINIK PAKAR, HOSPITAL SELAYANG

/ Hospital COVID-19

Rujuk : FB KKM

  1. Pihak Hospital Selayang ingin merujuk kepada video dan kenyataan yang telah tular di laman media sosial berkenaan sejumlah pesakit yang beratur panjang bagi mendapatkan rawatan di Klinik Pakar, Hospital Selayang. Pihak Hospital Selayang ingin memaklumkan bahawa sepanjang tempoh pandemik Covid-19, penjarakan fizikal telah diamalkan mengikut SOP yang ditetapkan dan pihak Hospital Selayang terpaksa menghadkan bilangan pesakit yang berada di dalam ruangan Klinik Pakar pada satu satu masa tertentu. Secara tidak langsung, ia telah mengakibatkan ramai pesakit beratur di luar Klinik Pakar.

  2. Memandangkan Hospital Sungai Buloh merupakan Hospital Utama Covid-19 serta Hospital Kuala Lumpur telah dijadikan hospital hybrid bagi merawat pesakit Covid-19, Hospital Selayang membantu supaya kesinambungan rawatan pesakit hospital-hospital tersebut tidak terjejas. Pada masa yang sama, Hospital Selayang terus memberikan perkhidmatan rawatan bagi pesakit-pesakit sedia ada. Oleh itu, pertambahan bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Selayang pada masa ini tidak dapat dielakkan.

  3. Untuk menangani masalah ini, langkah-langkah penambahbaikan telah dijalankan seperti :-
    i. Menyediakan khemah di tapak meletak kereta di hadapan Lobi Klinik Pakar. Langkah ini adalah tindakan sementara sehingga Anjung Pelawat yang dirancang dapat direalisasikan.
    ii. Menambahbaik sistem laluan pesakit mengikut waktu temujanji yang telah ditetapkan supaya dapat menjamin tidak berlaku kesesakan di dalam ruang menunggu Klinik Pakar.
    iii. Memulakan perkhidmatan Bilik Ambil Darah di luar Klinik Pakar lebih awal dari waktu yang dirancang yang mana dapat mengurangkan bilangan pesakit daripada berbaris di laluan yang sama ke Klinik Pakar.
    iv. Mewujudkan sistem serahan surat rujukan yang dapat mengurangkan lagi bilangan pesakit yang perlu berbaris di laluan ke Klinik Pakar.
    v. Dalam pelaksanaan inisiatif-inisiatif di atas, pihak Hospital Selayang sentiasa memastikan pematuhan kepada SOP.

Sekian.

Dr. Sakinah binti Alwi

Pengarah

Hospital Selayang

30 November 2020

Next Post Previous Post