Nilai Ambang Kes Harian Digantikan dengan Kadar Kemasukan Hospital bagi Peralihan ke Fasa 3 & 4 Pelan Pemulihan Negara
Alhamdulillah, selaras dengan perubahan nilai ambang untuk peralihan dari Fasa 2 ke Fasa 3, Perlis, Sarawak dan Labuan telah memenuhi nilai ambang yang ditetapkan dan berjaya melangkah ke Fasa 3. Nilai ambang baharu ini adalah:
- Fasa 2 ke Fasa 3: Kadar kemasukan hospital sebanyak 3 kes per 100,000 penduduk
- Fasa 3 ke Fasa 4: Kadar kemasukan hospital sebanyak 1.3 kes per 100,000 penduduk
Walau bagaimanapun, indikator kadar vaksinasi serta kadar penggunaan ICU masih dikekalkan.
Perubahan ini adalah berdasarkan sains dan data yang menunjukkan bilangan kes baharu COVID-19 menjadi kurang relevan setelah kadar vaksinasi mencapai 40% kerana kebanyakan kes adalah kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2).
Perlis sudah pun menepati kesemua nilai ambang sebelum ini untuk beralih ke Fasa 3.
Bagi Sarawak pula, kadar vaksinasi telahpun mencapai kadar 63.7% penduduk dewasa, melepasi nilai ambang bagi Fasa 4 untuk indikator ini iaitu 60%. Dengan peningkatan vaksinasi di negeri tersebut, bilangan kes di ICU telah menurun dengan ketara ke tahap 29%.
Begitu juga dengan Labuan di mana kadar vaksinasi telah pun mencecah 80% penduduk dewasanya. Ini telah menyumbang kepada pengurangan pesakit dalam wad ICU sehingga ke tahap 20%.

