KADAR PENGGUNAAN KATIL DI KATIL ICU UNTUK PESAKIT COVID-19
Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Hj. Mohd Yassin telah memasukkan beberapa indikator ambang utama termasuk kadar penggunaan katil di Wad ICU.
KKM ingin memaklumkan bahawa tren kemasukan kes-kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) telah menunjukkan peningkatan bermula sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-17 (25 April 2021 hingga 1 Mei 2021) hingga ME ke-21 (23 Mei 2021 hingga 29 Mei 2021). Tren yang sama dilihat berterusan terutama bagi tempoh dua (2) minggu seterusnya sehingga ME ke-23 (6 Jun 2021 hingga 12 Jun 2021) di mana jumlah pengunaan katil ICU telah melebihi 100 peratus.
Walaupun terdapat penurunan kes baharu harian bagi tempoh dua (2) minggu lockdown iaitu mulai 1 Juan 2021, kes-kes COVID-19 di ICU masih tidak menunjukkan penurunan yang ketara. Hal ini berikutan kemunculan varian-varian baharu yang mengakibatkan kes-kes dikesan dengan gejala serius (kategori 4 dan 5) dan merosot pada kadar yang lebih cepat. Keadaan ini menyebabkan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan oksigen dan alat pernafasan khususnya di kalangan golongan rentan seperti warga emas serta pesakit yang menghidap lain-lain penyakit (co-morbidity). Penggunaan kapasiti ICU yang melebihi 100 peratus ini amat membimbangkan di mana tidak semua pesakit yang memerlukan rawatan kritikal dapat ditempatkan di ICU.
Selain itu, penggunaan katil yang melebihi kapasiti ini juga disebabkan oleh keperluan tempoh pemulihan yang lama bagi pesakit-pesakit ICU untuk sembuh disebabkan komplikasi jangkitan COVID-19 yang serius. Secara purata, tempoh rawatan di ICU bagi kategori 4 adalah di antara 14 hari ke 16 hari, manakala bagi pesakit kategori 5 pula, tempoh rawatan di ICU adalah di antara 19 hari ke 26 hari.
KKM sentiasa bersiapsiaga dengan situasi ini dan antara langkah-langkah yang telah diambil adalah:
- Menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 iaitu sebanyak 11,598 katil di hospital dan 31,861 katil di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit COVID-19;
- Menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19;
- Bekerjasama dengan hospital pengajar Kementerian Pengajian Tinggi antaranya Pusat Perubatan di Universiti Malaya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Universiti Teknologi MARA, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia, dan terkini Hospital Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia) untuk menggunakan fasiliti mereka bagi merawat pesakit COVID-19;
- Bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam penubuhan Hospital Medan. Setakat ini enam (6) buah Hospital Medan ATM telah dibina di hospital-hospital KKM.
- Bekerjasama dengan 112 buah hospital swasta khususnya di Lembah Klang bagi rawatan pesakit COVID-19 yang melibatkan sejumlah 1,274 katil wad biasa dan 128 katil ICU.
Bagi memastikan usaha-usaha yang telah dijalankan dalam melawan penularan COVID-19 ini tidak sia-sia, KKM memohon kerjasama masyarakat untuk kekal mematuhi norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19. Terus kekal mengurangkan aktiviti pergerakan di luar rumah kerana dibimbangi mungkin terkena jangkitan daripada varian baharu COVID-19 yang lebih mudah merebak dan mengakibatkan penyakit yang teruk. Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 serta hadirlah ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berdasarkan tarikh temu janji yang diberikan.
Bersama-sama kita berganding bahu dalam memerangi penularan COVID-19 agar kita dapat menuju ke arah pemulihan negara daripada jangkitan COVID-19.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM