COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum akan isu yang ditimbulkan berkaitan keperluan pengambilan dua dos vaksin COVID-19 jenama COMIRNATY Concentrate for Dispersion for Injection (MAL21016022AZ) keluaran Pfizer-BioNTech. Kenyataan ini dikeluarkan untuk memberi penjelasan berkenaan pemberian dua dos vaksin COMIRNATY tersebut.

Tahap keberkesanan vaksin COMIRNATY dilaporkan sebagai 94.6% (N= 36,621) dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala, berdasarkan kajian klinikal fasa 3 yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari (selang masa dibenarkan adalah sehingga 42 hari). Walau bagaimanapun, Strategic Advisory Group of Experts on Immunization (SAGE) daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan agar dos kedua diberikan selepas 21-28 hari daripada dos pertama.

Berdasarkan pemerhatian dalam kajian klinikal tersebut, keberkesanan vaksin COMIRNATY telah ditunjukkan bermula dari hari ke-12 selepas pemberian dos pertama dan mencapai kira-kira 89% keberkesanan di antara hari ke-14 dan 21, iaitu pada masa dos kedua akan diberikan. Pada masa ini, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu (1) dos vaksin COMIRNATY tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua (2) dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua. Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum.

Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin.
Sekian, terima kasih.

“LINDUNGI DIRI, LINDUNGI SEMUA”
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

SUMBER : Kenyataan Akhbar Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Next Post Previous Post