Putrajaya, 12 Januari 2021 -- YB Dato' Sri Dr. Adham Bin Baba, Menteri Kesihatan telah menyempurnakan Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini di Dewan Serbaguna, KKM, Putrajaya.

Dr. Adham Baba mengucapkan syabas dan terima kasih kepada warga KKM di atas komitmen dan khidmat bakti yang berterusan dalam menangani penularan COVID-19. Dr. Adham dalam ucapan beliau telah memberi imbasan pencapaian KKM sepanjang tahun 2020 dan juga Aspirasi KKM bagi Tahun 2021.

Kerajaan ujarnya bakal melancarkan Pelan Strategik Pengurusan Pandemik Nasional dalam masa terdekat dimana pelan ini bukan sahaja meliputi pengurusan pandemik COVID-19, malah sebarang pandemik lain pada masa akan datang secara “WHOLE NATION APPROACH”. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Strategik Pengurusan Pandemik yang terdiri daripada 10 Kumpulan Kerja Fokus dipengerusikan oleh YB Menteri Kanan Pertahanan.

“Saya sebagai Menteri Kesihatan telah diberikan amanah bagi mengemudi Kumpulan Kerja 1 di bawah jawatankuasa ini berhubung sekuriti kesihatan yang bertanggungjawab memastikan Malaysia mengurangkan risiko ancaman dan pulih dari pandemik melalui tindakan menggubal, merancang, melaksana, memantau dan menambahbaik setiap strategi, program dan insiatif sekuriti kesihatan serta perihal berkaitan bagi tujuan memastikan keselamatan rakyat sentiasa terpelihara dari ancaman pandemik.

Sebanyak 136 inisiatif telah berjaya dirangka oleh kumpulan kerja ini yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima (5) tahun” ucap Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan ketika menyampaikan amanat dalam Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Dr Adham juga turut mengulas tentang vaksin bila menyatakan kerajaan sekarang ini menerusi KKM telah berjaya memuktamadkan jaminan akses vaksin negara sebanyak 40% sehingga kini dengan menandatangani perjanjian pembelian awal vaksin COVID-19 dengan beberapa syarikat farmaseutikal dan fasiliti COVAX yang terdiri daripada 10% melalui The Global Alliance for Vaccines and Immunization (GAVI), 20% daripada Pfizer dan 10% daripada Astra Zaneca.

Menurutnya lagi, kerajaan juga sedang giat meneruskan rundingan dengan pelbagai syarikat-syarikat pengeluar vaksin di seluruh dunia untuk mendapatkan baki bekalan akses vaksin COVID-19 bagi memenuhi keperluan imunisasi rakyat secara optimum. KKM menurutnya, tidak akan berkompromi sama sekali dari segi aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan sesuatu vaksin yang perlu mendapatkan kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM.

“Walaupun vaksin COVID-19 akan diberikan kepada rakyat, namun kempen-kempen kesedaran terhadap pembudayaan norma baharu perlu dipergiatkan sebagai kemestian dalam memutuskan rantaian COVID-19. “VACCINE IS NOT A SILVER BULLET“.

Peringatan dan pembudayaan berterusan harus diberikan kepada rakyat berhubung konsep 3W yang terdiri daripada WASH (kerap mencuci tangan dengan air dan sabun), WEAR (memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala) dan WARN (amaran dari KKM yang lebih berkonsep 14 peringatan). 3C yang perlu dielakkan adalah CROWDED PLACE (tempat yang sesak), CONFINED SPACE (tempat yang sempit) dan CLOSE CONVERSATION (bertutur pada jarak yang dekat).

Turut hadir sama dalam Majlis Amanat tersebut adalah YB Dato’ Haji Dr. Noor Azmi bin Ghazali Timbalan Menteri Kesihatan 1, YBhg. Dato’ Seri Dr. Chen Chaw Min Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan, YBhg. Dato’ Mohd. Shafiq bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), YBhg. Datuk Harjeet Singh, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), YBhg. Dato’ Dr. Chong Chee Kheong, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBrs. Dr. Hishamshah bin Mohd. Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal).

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post