KESIAPSIAGAAN ALAT PELINDUNG DIRI (PPE) BAGI FASILITI KKM
Kelengkapan alat pelindung diri (PPE) merupakan satu keperluan utama bagi mengawal risiko jangkitan COVID-19 kepada anggota kesihatan dalam menghadapi pandemik ini. Dunia turut menghadapi cabaran kekangan pembekalan PPE akibat daripada lonjakan penggunaan PPE yang drastik pada peringkat awal pandemik.
Di Malaysia, terdapat 18 item atau jenis PPE utama yang digunakan oleh anggota kesihatan semasa bertugas untuk menangani COVID-19 seperti pelitup muka, sarung tangan, pelindung muka, apron plastic, sarung kasut dan sebagainya. Penggunaan PPE tersebut adalah berdasarkan situasi yang dihadapi atau pesakit yang dirawat. Misalnya, bagi pelitup muka terdapat pelbagai jenis seperti N95, 3- ply mask dan lain-lain.
KKM memang sentiasa memastikan bekalan PPE mencukupi untuk negara. Susulan itu, perolehan pembekalan atau peruntukan khas COVID-19 bukan sahaja dilaksanakan di peringkat pusat malah turut diberikan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri. Selain itu, KKM juga telah menerima bekalan PPE melalui sumbangan daripada pelbagai pihak.
KKM telah melaksanakan strategi pemantauan harian secara berkala, berterusan dan sistematik bagi memastikan negara sentiasa mempunyai bekalan PPE yang mencukupi. Pengagihan PPE kepada setiap negeri adalah berdasarkan pemantauan keperluan PPE oleh setiap Jabatan Kesihatan Negeri. Selain itu, mobilisasi PPE juga dilakukan antara fasiliti bagi menampung keperluan fasiliti lain yang terdesak.
Sehingga 4 November 2020 , sebanyak RM359 juta telah diperuntukkan kepada KKM untuk pembelian bekalan PPE dan konsumabels. Khusus bagi negeri Sabah pula, bermula September 2020 sehingga 4 November 2020 peruntukan khas sebanyak RM 41 juta telah diberikan bagi melaksanakan perolehan tambahan bekalan PPE dan konsumabel.
Setakat ini, bekalan PPE di seluruh negara adalah mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 45 hari dan keperluan penambahan stok sentiasa dilaksana dan dipantau. Manakala bagi negeri Sabah pula, bekalan PPE adalah mencukupi untuk tempoh antara 21 sehingga 166 hari bergantung kepada jenis PPE.
Bagi mempercepatkan penghantaran PPE dari Semenanjung ke Sabah, KKM turut dibantu oleh pihak Tentera Udara Diraja Malaysia.
Datuk Dr. Hj Rohaizat Bin Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia