Soalan 1: Apakah Coronavirus?
Coronavirus adalah satu keluarga besar virus yang menyebabkan jangkitan saluran pernafasan seperti Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS) dan Middle East Respiratory Syndrome-related Coronavirus (MERS-CoV). Coronavirus terbaharu dan menjadi pandemik di seluruh dunia kini dikenali sebagai Novel Coronavirus 2019 (COVID-19).
COVID-19 telah mula dikesan di negara China dengan kes pertama disahkan pada 7 Januari 2020 di Wuhan, Hubei, China. Dalam tempoh tiga (3) minggu seterusnya, kes-kes disahkan di Thailand, Nepal, Amerika Syarikat, Korea Selatan, Singapura, Perancis, Vietnam, Malaysia, Australia, Canada, Cambodia, Sri Lanka dan Jerman. Kes pertama di Malaysia disahkan pada 25 Januari 2020. Sehingga kini, penyakit COVID19 masih lagi menular di Malaysia.
Sejak 20 September 2020, Malaysia sudah memasuki permulaan gelombang ketiga COVID-19 susulan peningkatan mendadak kes jangkitan virus COVID-19. Kementerian Kesihatan Malaysia dan pihak berkuasa terus menjalankan program dan aktiviti kawalan dan pencegahan bagi membendung wabak COVID-19 di Malaysia.
Soalan 2: Bagaimanakah novel coronavirus 2019 (COVID-19) merebak?
Cara penularan novel coronavirus COVID-19 daripada individu kepada individu yang lain adalah melalui titisan dari hidung atau mulut yang tersebar apabila seseorang yang dijangkiti COVID-19 batuk atau bersin. Titisan ini melekat pada objek dan permukaan di sekelilingnya. Orang lain yang menyentuh objek atau permukaan ini mempunyai risiko mendapat jangkitan COVID-19 apabila beliau menyentuh mata, hidung atau mulutnya selepas menyentuh permukaan/objek yang tercemar. Seseorang itu juga boleh dijangkiti COVID-19 jika mereka berada dekat dengan pesakit COVID-19 yang batuk, bersin atau bercakap dalam jarak yang dekat. Itulah sebabnya amat penting untuk mengekalkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang yang bergejala.
KKM sentiasa mengawasi perkembangan jangkitan ini dan mengemas kini maklumat penyakit ini dalam laman sesawang KKM. Orang ramai dinasihatkan supaya mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP yang ditetapkan.
Soalan 3: Sekiranya saya memakai pelitup muka atau N95, adakah perkara ini membantu untuk mengurangkan penularan COVID-19?
Pemakaian pelitup muka atau 3-ply face mask adalah disyorkan kerana tindakan ini membantu mengurangkan penyebaran virus dan lebih praktikal untuk digunakan oleh orang awam. Langkah ini menghalang orang lain daripada terkena titisan dan percikan air liur orang yang memakai pelitup muka. Namun, N95 tidak disyorkan untuk orang awam kerana ia perlu dipakai dengan cara yang betul dan saiz yang bersesuaian. Ia lebih sesuai digunakan oleh anggota kesihatan yang mengendalikan pesakit di fasiliti kesihatan.
Soalan 5: Saya tinggal di kawasan zon merah dan mempunyai gejala seperti demam, batuk dan selesema. Perlukah saya pergi ke klinik swasta atau ke Jabatan Pesakit Luar Klinik Kesihatan Kerajaan?
Anda hendaklah segera berjumpa doktor jika mempunyai gejala demam atau jangkitan saluran pernafasan seperti batuk dan selesema. Sila dapatkan pemeriksaan di fasiliti kesihatan terdekat, pakai pelitup muka, jaga penjarakan sekurang-kurangya 1 meter dan amalkan etika batuk dan bersin apabila anda keluar dari rumah untuk mendapatkan rawatan.
Soalan 6: Apakah rawatan untuk penyakit COVID-19?
Sehingga kini, tiada rawatan khusus atau ubat antivirus untuk jangkitan COVID-19. Rawatan diberikan hanya untuk mengurangkan gejala yang dialami pesakit.
Soalan 7: Adakah penyakit COVID-19 ini boleh menyebabkan kematian? Apakah perbezaannya dengan SARS?
COVID-19 berpotensi menyebabkan penyakit yang teruk sehingga membawa kematian, terutamanya dalam kalangan warga emas dan orang yang mempunyai masalah kesihatan atau sistem imun yang rendah. Ciri-ciri terperinci virus ini belum diketahui.
Soalan 9: Bagaimanakah pengesanan kontak dilakukan?

Pengesanan kontak adalah prosedur untuk mengesan individu yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19. Proses ini bertujuan untuk membendung penularan penyakit COVID-19 dalam kalangan komuniti dan memudahkan pengawalan penyakit. 

  • Pengesanan kes akan dilakukan oleh pegawai kesihatan di Pejabat Kesihatan Derah di mana pesakit akan dihubungi bagi mendapatkan maklumat sejarah perjalanan dan kontak rapat sepanjang 14 hari yang lepas. 
  • Semua kontak rapat akan dihubungi bagi mendapatkan status kesihatan. 
  • Setelah saringan dan ujian COVID-19 dijalankan, kontak rapat akan dipakaikan gelang dan diberikan borang Home Assessment Tool - HAT ( BM / EN ) untuk menilai tahap kesihatan harian secara kendiri di rumah. 
  • Kontak rapat yang disahkan positif akan dirujuk ke hospital. 
  • Manakala kontak rapat dengan keputusan negatif akan meneruskan kuarantin 14 hari berdasarkan Seksyen 15 (1) [Akta 342]. 
  • Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan memantau dan menghubungi kontak tersebut dari semasa ke semasa dalam tempoh 14 hari. 
  • Semasa dalam tempoh kuarantin, sekiranya bergejala, kontak rapat tersebut akan dirujuk ke hospital. 
  • Kontak rapat yang menjalani kuarantin perlu melakukan ujian COVID-19 kali kedua pada hari ke-13. 
  • Kontak yang disahkan positif pada hari ke-13 akan dirujuk ke hospital. 
  • Kontak yang disahkan negatif pada hari ke-13 akan diberikan pelepasan dari menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, Home Surveillance Order (HSO) dan gelang pengawasan akan ditanggalkan oleh pegawai diberi kuasa di Pejabat Kesihatan Daerah pada hari ke-14.
Soalan 11: Apakah senarai hospital kerajaan dan klinik kerajaan untuk saringan COVID-19?

Maklumat mengenai senarai hospital dan klinik kerajaan yang menjalankan saringan COVID-19 boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Portal Rasmi COVID-19 Malaysia di pautan :

Senarai Hospital & Klinik Kerajaan Yg Menjalankan Saringan COVID-19 (kemaskini 31/10/2020)

Soalan 12: Apakah senarai hospital swasta dan klinik swasta untuk saringan COVID-19?

Maklumat mengenai senarai hospital dan klinik swasta yang menjalankan saringan COVID-19 boleh didapati di laman web rasmi Bahagian Amalan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia iaitu di pautan

Senarai Hospital Swasta & Klinik Swasta Untuk Saringan COVID-19 

Dikemaskini pada 26/11/2020 oleh Bhgn Amalan Perubatan

Soalan 13: Senarai makmal kerajaan dan swasta yang menjalankan ujian COVID-19.

Maklumat senarai makmal kerajaan dan swasta yang menjalankan ujian COVID-19 boleh didapati di pautan 

Senarai Makmal Kerajaan dan Swasta yg menjalankan Ujian COVID-19 (kemaskini 07/12/2020)

Soalan 14: Apakah jenis ujian COVID-19 yang dijalankan?
  • Rt-PCR: Rt-PCR atau dikenali sebagai Reverse transcriptase Polymerase Chain Reaction adalah ujian pengesahan yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengesahkan jangkitan virus COVID-19 pada individu yang disyaki.
  • RTK Ag: Keputusan ujian menggunakan RTK Ag lebih cepat berbanding Rt-PCR. RTK Ag mempunyai tahap sensitiviti 90% dan spesifisiti 100%. Disebabkan itu, RTK Ag boleh digunakan sebagai kaedah alternatif untuk ujian COVID-19. Walau bagaimanapun, RTKAg hanya diguna pakai di Malaysia untuk ujian pengesanan COVID-19 sahaja manakala Rt-PCR untuk ujian pengesahan. 
  • RTK Ab: Ujian RTK Ab tidak digunakan untuk pengesanan awal virus COVID-19. Ia sesuai diambil pada hari ke-13 oleh individu dikuarantin kerana pada masa ini sistem imun dalam badan seseorang itu akan menghasilkan antibodi apabila terdedah kepada virus. Ujian RTK Ab ini bertujuan untuk mengesan antibodi COVID-19 dalam badan. Hal ini kerana respon antibodi mengambil masa 5 hingga 7 hari untuk terhasil.

Soalan 15: Berapakah kadar bayaran ujian pengesanan COVID-19 di fasiliti kesihatan kerajaan?

Di pautan berikut adalah  makluman rasmi berkaitan kadar bayaran bagi ujian pengesanan COVID-19 di fasiliti kesihatan kerajaan.

Bayaran tertakluk dalam [Peraturan 3 di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Fi bagi Ujian Pengesanan COVID-19) 2020].

Kadar Bayaran Ujian Pengesanan COVID-19 di Fasiliti Kesihatan Kerajaan

Soalan 16: Siapakah yang tidak perlu membayar ujian pengesanan COVID-19 di fasiliti kerajaan?

Bayaran ujian pengesanan COVID-19 di fasiliti kerajaan tidak akan dikenakan kepada: 

  • Penjawat awam yang menjalankan tugas rasmi di dalam dan luar negara. 
  • Warganegara dan bukan warganegara yang disyaki positif COVID-19. 
  • Warganegara dan bukan warganegara yang mempunyai kontak rapat kepada kes positif COVID-19. 
  • Penduduk di Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 
  • Individu di bawah survelan bagi penyakit seperti influenza like illness (ILI) dan jangkitan pernafasan akut teruk/Severe Acute Respiratory Illness (SARI). 
  • Pengembara dari luar negara yang mendapat pengecualian bayaran ujian pengesanan COVID-19
Soalan 17: Adakah saya perlu menjalankan ujian COVID-19 jika saya baru pulang dari luar negara?
Semua pengembara dari luar negara wajib menjalankan saringan kesihatan dan ujian pengesanan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia. Kos ujian pengesanan COVID-19 yang dijalankan perlu ditanggung sendiri oleh pengembara tersebut.
Soalan 18: Bolehkah pengecualian bayaran dibuat untuk kos ujian pengesanan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA)?

Pengecualian atau pengetepian caj bagi ujian pengesanan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia diberikan kepada: • Pegawai kerajaan yang pulang ke Malaysia atas urusan rasmi; 

  • Orang Kurang Upaya (OKU) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); dan 
  • Pelajar Malaysia dari luar negara yang pulang ke Malaysia (kali pertama).

 

Soalan 19: Apa yang perlu dilakukan selepas ujian COVID-19? Bilakah tempoh kuarantin saya akan bermula?
Individu yang menjalani ujian COVID-19 perlu mematuhi arahan kuarantin. Bagi pengembara dari luar negara, kuarantin 14 hari akan bermula pada hari ketibaan anda di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia. Bagi saringan kontak rapat, kuarantin 14 hari akan bermula pada hari terakhir anda terdedah kepada pesakit positif COVID-19 atau sekiranya anda tidak pasti, kuarantin akan bermula pada hari pertama ujian COVID-19 diambil.
Soalan 20: Mengapakah kuarantin perlu dijalankan selama 14 hari walaupun ujian pengesanan COVID-19 kali pertama negatif?
Kuarantin selama 14 hari amat penting walaupun ujian pengesanan COVID-19 kali pertama negatif. Ini disebabkan oleh tempoh pengeraman virus COVID-19 antara 4 atau 5 hari sehingga 14 hari. Sebanyak 75 peratus kontak rapat kepada pesakit COVID-19 dikesan positif pada hari pertama dan 25 peratus dikesan positif pada hari ke-13. Oleh yang demikian, adalah wajib setiap individu yang diarahkan kuarantin melakukannya selama 14 hari bagi memutuskan rantaian wabak COVID19 di Malaysia. Arahan pelepasan pengawasan dan pemerhatian pada hari ke-14 akan diberikan sekiranya ujian ulangan kali kedua iaitu pada hari ke-13 adalah negatif.
Soalan 21: Adakah saya perlu dikuarantin sekiranya ingin pulang ke Malaysia dari luar negara?

Semua pengembara warganegara dan bukan warganegara dari luar negara dan memasuki Malaysia mulai 24 Julai 2020 perlu menjalani perintah kuarantin wajib di stesen kuarantin yang telah diwartakan oleh kerajaan Malaysia, berdasarkan kepada peruntukan di bawah subseksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Kos kuarantin perlu ditanggung sepenuhnya oleh pengembara kecuali individu yang diberikan pengecualian bayaran kos kuaratin di stesen kuarantin. Maklumat lanjut mengenai perkara ini boleh diperolehi di laman sesawang Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di pautan berikut 

Portal Rasmi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JPM


Soalan 22: Bolehkah pengembara dari luar negara mendapat pengecualian bayaran kos kuarantin di stesen kuarantin?

Pengecualian caj kuarantin diberikan kepada: 

  • Pemegang Kad OKU yang dikeluarkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685]; 
  • Warganegara Malaysia daripada golongan B40; 
  • Individu atau keluarga warganegara Malaysia dari golongan B40; 
  • Pelajar warganegara Malaysia daripada keluarga B40; 
  • Kanak-kanak warganegara Malaysia berumur 6 tahun dan ke bawah; 
  • Pengembara berseorangan/solo warganegara Malaysia yang berumur 12 tahun ke bawah; 
  • Warganegara Malaysia yang pulang sebaik sahaja dibebaskan dari penjara negara asing yang tidak mampu membayar caj di stesen kuarantin atau tiada sumber pendapatan.
Soalan 23: Bagaimanakah cara untuk menuntut bayaran balik kos penginapan di stesen kuarantin bagi pengembara dari luar negara yang telah membuat bayaran penuh bagi kos kuarantin tetapi telah disahkan positif COVID-19?

Pengembara dari luar negara yang telah membuat bayaran penuh bagi kos kuarantin tetapi telah disahkan positif COVID-19 sebelum melengkapkan perintah kuarantin wajib boleh mengemukakan permohonan bayaran balik kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang menguruskan stesen kuarantin tersebut. 

Jumlah bayaran balik adalah secara prorata berdasarkan bilangan hari yang diduduki sebelum disahkan positif COVID-19. Borang permohonan tuntutan pulangan balik bayaran kos boleh diperoleh di pautan 

http://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan-dan-borang-permohonan-bayaran-balik-kos-kuarantin-request-for-refund-form

Soalan 24: Apakah tindakan selanjutnya sekiranya keputusan ujian COVID-19 (Rt-PCR) disahkan positif?
Semua individu yang disahkan positif COVID-19 akan dihubungi oleh pegawai kesihatan dan akan dirujuk ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah berada di hospital, keadaan pesakit akan dinilai untuk ditempatkan di hospital atau di stesen kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah.
Soalan 25: Senarai hospital rujukan bagi mengendalikan kes COVID19.

Maklumat senarai hospital rujukan bagi mengendalikan kes COVID-19 boleh didapati di Portal Rasmi KKM di pautan di bawah :

Senarai Pusat Saringan Dan Hospital Yang Mengendalikan Kes COVID-19 - (Kemaskini 31 Okt 2020)

Soalan 26: Senarai stesen kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah.

Senarai pusat kuarantin dan rawatan COVID-19 berisiko rendah.

(Data dikemaskini pada 25 Oktober 2020, 1800H

NegeriBilLokasi
Perlis1Institut Latihan KKM Kangar
Kedah2Kompleks Penjara Alor Setar

3Kompleks Penjara Pokok Sena

4Kompleks Penjara Sungai Petani

5Pusat Kuarantin Bukit Kachi

6Asrama Jururawat Kuala Nerang
Pulau Pinang7ILKKM Pulau Pinang (Pergigian)

8Kompleks Penjara Reman Pulau Pinang

9Kompleks Penjara Seberang Perai
Perak10Pusat Konvensional Kamunting
Selangor11Pusat Kawalan Kusta Negara

12Institut Latihan KKM Sungai Buloh
WP KL
Tiada
Negeri Sembilan
Tiada
Melaka13Kolej Kejururawatan Melaka
Johor
Tiada
Pahang
Tiada
Terengganu14Pusat Sumber Pendidikan Marang
Kelantan15Asrama Jururawat Hospital Pasir Mas

16Asrama Jururawat Hospital Tengku Anis

17Pusat Latihan Tumpat
Sabah18ILKKM Sandakan

19Kompleks Penjara Tawau

20Kompleks Sukan Tawau

21Projek Perumahan Rakyat Bubul Ria

22Projek Perumahan Rakyat Batu Putih

23ILKKM Tawau

24Dewan Arena Belia Tawau

25Kompleks Sukan Likas

26Dewan Kompleks Sukan Ranau

27Dewan Arena Belia Kunak

28Kampus INTAN Sabah

29KB Resthouse

30Pusat Latihan Kecemerlangan Koperasi

31Dewan Selagon Beaufort

32Dewan Masyarakat Keningau

33Projek Perumahan Rakyat Bubul Taman Seri Sepagaya

34Politeknik Kota Kinabalu

35Institut Kemahiran Mara Kota Kinabalu

36Dewan  Badminton,   Kolmpleks      Sukan Keningau

37Kompleks Sukan Sibuga

38Projek Perumahan Rakyat Seri Bayu

39Dewan Masyarakat Tambunan

40Kudat Rest House

41Marudu Inn
Sarawak42Pusat Belia dan Sukan Kuching

43Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara

44ILKKM Kuching (KSKB)

45Kampung Sukan Petronas Miri

46Hospital Limbang

47Hospital Kapit
WP Labuan48Asrama Jururawat Hospital Labuan

49Balai Pelawat Hospital Labuan

50Bangunan Unit Kualiti (Wellnes Centre)

51Rumah Transit Hospital Labuan

52Bangunan Linen Hospital Labuan

53Bangunan Sumber Hospital Labuan

54Pusat Sumber Bahagian Teknologi Pendidikan Labuan

55Balai Pelawat Hospital Labuan


Soalan 27: Mengapakah stesen kuarantin untuk COVID-19 dibuka?

Pembukaan stesen kuarantin merupakan keperluan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342]. Ia dibuka untuk mengasingkan atau memantau individu yang dijangkiti atau disyaki COVID-19 untuk rawatan dan pemerhatian. Individu yang dikuarantin perlu berada di pusat kuarantin sehinggalah mereka selamat untuk berada di kawasan orang awam. Langkah ini bertujuan untuk memutuskan rantaian wabak COVID-19 di Malaysia. Stesen kuarantin yang diwartakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia terdiri daripada hospital atau fasiliti bukan hospital.

Soalan 28: Apakah yang dimaksudkan dengan Individu dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS)?

PUS (Person Under Surveilence) bermaksud individu yang mempunyai kriteria epidemiologi tetapi tidak bergejala, iaitu sama ada: 

  • Pernah menghadiri majlis atau kawasan yang dikaitkan dengan kluster COVID-19 atau zon merah ATAU 
  • Pernah mengembara/tinggal di luar negara dalam masa 14 hari sebelum bergejala ATAU
  • Kontak rapat dengan pesakit COVID-19 dalam masa 14 hari sebelum bergejala. 
Soalan 29: Apakah perkara yang perlu dilakukan oleh individu dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS)?

Semua individu dalam Perintah Pengawasan dan Pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS) perlu menjalani kuarantin selama 14 hari sama ada di rumah atau di stesen kuarantin. Individu yang menjalani kuarantin di rumah akan diberikan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah, Home Surveillance Order (HSO).

Soalan 30: Apakah senarai semak untuk seseorang yang akan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah/Home Surveillance Order (HSO)?
  • Mempunyai bilik tidur dan bilik air yang berasingan dengan ahli rumah, jika tidak mampu, bilik air boleh dikongsi dengan ahli rumah dengan syarat bilik air tersebut haruslah sentiasa dibersihkan dengan cecair pembasmi kuman. 
  • Mempunyai akses kepada makanan dan keperluan lain. 
  • Mempunyai akses kepada barang seperti pelitup muka, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman di rumah. 
  • Boleh mendapatkan rawatan di klinik/hospital berhampiran sekiranya perlu dengan menggunakan kenderaan persendirian. 
  • Bersetuju untuk mematuhi perintah HSO termasuk melakukan alat penilaian kendiri di rumah/Home Assessment Tool (HAT)
  • Hadkan jarak sekurang-kurangnya 1 meter dengan ahli rumah yang berisiko tinggi. Contohnya, warga emas berumur 60 tahun ke atas dan kanak-kanak.

Senarai semak ini adalah sebagai panduan. Namun, ia bergantung kepada kesesuaian individu tersebut untuk menjalankan perintah tersebut. 

Soalan 31: Apakah proses yang akan saya lalui selepas saya diberi arahan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah/Home Surveilance Order (HSO)?
  • Individu di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO) akan dipakaikan gelang pengawasan dan diberikan borang penilaian kendiri, Home Assessment Tool - HAT ( BM / EN ) untuk menilai tahap kesihatan harian secara kendiri. 
  • Pihak Pejabat Kesihatan Daerah akan memantau dan menghubungi kontak tersebut dari semasa ke semasa dalam tempoh 14 hari. 
  • Semasa dalam kuarantin, jika bergejala, anda akan dirujuk ke hospital. 
  • Ujian ulangan COVID-19 (RTK-Ab) pada hari ke-13. 
  • Kontak yang disahkan positif pada hari ke-13 perlu jalani ujian Rt PCR. 
  • Kontak yang disahkan negatif pada hari ke-13 akan diberikan Surat Pelepasan daripada menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah dan pemotongan gelang pengawasan oleh Pejabat Kesihatan Daerah pada hari ke-14.

Klik untuk lihat Alat penilaian kendiri di rumah/Home Assessment Tool (HAT) dalam tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah (HSO). 

  1. Home Assessment tool (Bahasa Melayu) (Updated on 5/10/2020) 
  2. Home Assessment tool (Bahasa Inggeris) (Updated on 5/10/2020) 
Soalan 32: Apakah yang perlu dilakukan ketika di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di rumah/Home Surveilance Order (HSO)?
  1. Boleh dihubungi pada setiap masa. 
  2. Sentiasa berada di rumah sepanjang tempoh pengawasan dan pemerhatian. Digalakkan untuk berada dalam bilik yang mempunyai bilik air berasingan dengan orang lain. 
  3. Hadkan pelawat atau tetamu yang datang ke rumah anda. 
  4. Senaraikan semua orang yang datang ke rumah anda. 
  5. Sentiasa mengamalkan adab batuk dan bersin yang betul. 
  6. Sekiranya bergejala, sentiasa pakai pelitup muka, tutup mulut dan hidung anda menggunakan tisu apabila batuk dan bersin. Buang tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah dan cuci tangan serta merta dengan air sabun atau hand sanitiser. 
  7. Hadkan jarak fizikal anda sekurang-kurangnya 1 meter. 
  8. Pakai pelitup muka sekiranya keluar dari bilik dan elakkan bergaul dengan orang lain. 
  9. Pastikan pengudaraan rumah dalam keadaan baik dengan membuka tingkap. 
  10. Elakkan perkongsian peralatan makanan dan sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan diri. 
  11. Pada hari ke-13, anda perlu menjalani ujian serologi COVID-19 di klinik kesihatan/klinik swasta yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Pastikan anda mendapat salinan keputusan ujian tersebut. 
  12. Pada hari ke-14, hadir ke Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan laporan ujian serologi untuk mendapatkan pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, serta menanggalkan gelang perintah pengawasan. 
  13. Sekiranya bergejala dan bertambah teruk semasa tempoh pengawasan dan pemerhatian di rumah, segera hubungi Pejabat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut.
Soalan 33: Apakah nombor talian bilik gerakan COVID-19 di Pejabat Kesihatan Daerah?

Maklumat mengenai senarai talian bilik gerakan COVID-19 di Pejabat Kesihatan Daerah setiap negeri boleh didapati di laman web Portal Rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia di pautan :

Senarai Pejabat Kesihatan Daerah

Soalan 34: Apakah yang dimaksudkan dengan gelang pengawasan dan pemerhatian di rumah?
  • Gelang pengawasan dan pemerhatian di rumah adalah gelang yang dipakaikan kepada individu yang berada di bawah pengawasan seperti kontak rapat kes positif, pengembara yang pulang dari luar negara atau individu yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). 
  • Selain gelang berwarna merah jambu, terdapat juga gelang berwarna putih, biru, merah atau kuning yang digunakan. Pemakaian warna gelang kepada individu yang perlu dikuarantin tertakluk kepada stok di kawasan setempat dan penentuan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tempat dan tarikh saringan dilakukan akan ditulis pada gelang tersebut. Individu yang telah dipakaikan gelang kuarantin ini tidak boleh keluar rumah sehingga tempoh kuarantin tamat. 
  • Gelang kuarantin hanya boleh dipotong oleh pegawai diberi kuasa di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) yang terlibat setelah tempoh kuarantin tamat. 
  • Sekiranya terdapat individu dengan gelang kuarantin berada di kawasan umum, anda boleh laporkan ke pejabat polis atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) terdekat. 

Soalan 35: Adakah saya perlu jalani kuarantin sekiranya ada ahli rumah yang dikuarantin disebabkan mempunyai kontak rapat dengan pesakit positif COVID-19?

Anda perlu dikuarantin apabila anda mempunyai kontak rapat dengan ahli rumah yang dikuarantin itu disahkan positif COVID-19. Kontak rapat bermaksud anda pernah berada dengan pesakit COVID-19 dalam ruang/bilik yang sama dengan pesakit COVID-19, pernah mengambil pengangkutan awam yang sama dengan pesakit COVID-19; dan berada dalam rumah yang sama dengan pesakit COVID-19. Walau bagaimanapun, ahli rumah hendaklah mematuhi arahan pencegahan COVID-19 seperti menjaga penjarakan sekurang-kurangnya 1 meter, memakai pelitup muka apabila berada di ruang/bilik yang sama dengan orang yang dikuarantin dan kerap mencuci tangan dengan air sabun atau hand sanitizer.

Soalan 36: Adakah perlu untuk saya menjalani kuarantin dan membuat ujian COVID-19 jika status di MySejahtera menunjukkan individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS)?

Status PUS di MySejahtera adalah untuk individu yang mempunyai kriteria epidemiologi yang berkaitan COVID-19 tetapi tidak bergejala. Apabila anda mendapat status di MySejahtera menunjukkan anda individu dalam perintah pengawasan dan pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS), jangan cemas. Sila tunggu arahan daripada Pejabat Kesihatan Daerah. Pegawai Kesihatan Daerah yang terlibat akan membuat siasatan kontak rapat berhubung kes tersebut. Sekiranya anda disahkan sebagai kontak rapat dengan kes COVID -19, anda perlu melakukan ujian COVID- 19. Sekiranya tidak dihubungi, sila rujuk Pejabat Kesihatan Daerah untuk pertanyaan lanjut.

Soalan 37: Bagaimanakah cara disinfeksi dan mengendalikan sisa buangan ketika individu di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS)?

Cara pengendalian sisa buangan ketika individu di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian/Person Under Surveillance (PUS) adalah seperti berikut: 

  • Permukaan yang kerap disentuh di kawasan penjagaan pesakit mesti kerap dibersihkan. 
  • Peralatan makan dan minum mesti dibersihkan selepas setiap kali digunakan dan tidak boleh berkongsi peralatan dengan orang lain. 
  • Bilik mandi yang digunakan oleh pesakit COVID-19 atau ahli rumah yang lain mesti dibersihkan dan dinyahkuman sekurang-kurangnya sekali sehari. 
  • Proses pembersihan boleh menggunakan serbuk pencuci, dibilas dan diikuti dengan disinfektan yang mengandungi 0.1% Sodium Hipoklorit. 
  • Pakai Personal Protective Equipment (PPE) seperti pelitup muka, cermin mata pelindung, apron kalis cecair dan sarung tangan semasa proses disinfeksi. Bersihkan tangan selepas PPE ditanggalkan. 
  • Peralatan minima yang perlu adalah pelitup muka dan pencuci tangan sekiranya peralatan lain tidak dapat disediakan. 
  • Tandas perlu sentiasa dibersihkan, berfungsi dengan baik dan selamat.
Soalan 38: Bagaimanakah pengurusan sampah yang betul semasa menjaga individu PUS?
  • Sampah dibungkus dan diikat kemas dalam beg yang kukuh sebelum dibuang. 
  • Sampah ditanam atau dibakar dengan terkawal jika tiada perkhidmatan pengurusan sisa pepejal. Gunakan kaedah yang lebih lestari dan mesra alam seberapa boleh. 
  • Tisu yang digunakan untuk batuk atau bersin dibuang dengan segera ke dalam tong sampah yang tertutup. 
  • Cuci tangan dengan bersih selepas membuang sampah.
Soalan 39: Apakah pembudayaan norma baharu dalam mencegah jangkitan COVID-19?

Pencegahan jangkitan COVID-19 merupakan tugas bersama. Cegah, Amal, Patuhi, Pantau (CAPP) adalah pendekatan pembudayaan norma baharu untuk mencegah penularan COVID-19. Pendekatan CAPP ini mensasarkan individu, keluarga dan komuniti dalam mencegah dan memutuskan rantaian wabak COVID-19. CAPP adalah singkatan untuk: 

  •  CEGAH COVID-19 dengan mendidik keluarga serta komuniti norma baharu kehidupan. 
  •  AMALkan tingkah laku baik bagi mengelakkan diri, keluarga dan komuniti daripada jangkitan COVID-19. 
  •  PATUHI SOP pengoperasian sektor utama negara dan lain-lain arahan kerajaan. 
  •  PANTAU status kesihatan diri dan keluarga dan segera dapatkan rawatan jika bergejala. Lakukan saringan suhu badan dan gejala sebelum memasuki tempat kerja, institusi pendidikan, premis atau pusat jagaan seperti rumah orang tua.
Soalan 40: Apakah langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID19?

Setiap individu diingatkan untuk sentiasa mengamalkan langkah-langkah berikut: 

  • Amalkan tahap kebersihan diri yang tinggi setiap masa seperti kerap mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun atau hand sanitizer.
  • Memakai pelitup muka di tempat awam atau jika bergejala.
  • Elakkan daripada mengunjungi tempat tumpuan ramai, sesak dan sempit.
  • Duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar. Sekiranya perlu keluar, pakai pelitup muka serta jarakkan diri sekurang-kurangnya 1 meter daripada orang lain.
  • Jangan bersalaman dan bersentuhan termasuk melagakan anggota badan, sebaliknya anjur hormat dengan meletakkan tangan di dada dan tunduk hormat.
  • Amalkan etika batuk dan bersin yang betul.
  • Dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang terdekat jika bergejala.
  • Muat turun, daftar dan gunakan aplikasi MySejahtera setiap kali masuk ke tempat kerja.


Soalan 41: Apakah tindakan KKM dalam mencegah dan mengawal penularan penyakit COVID-19 ini?

KKM memantau situasi wabak jangkitan COVID-19 ini secara harian dengan menjalankan aktiviti-aktiviti berikut: 

  • Mengaktifkan Bilik Gerakan COVID-19 di CPRC Kebangsaan.
  • Menyediakan dan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai situasi terkini wabak COVID-19.
  • Menjalankan saringan gejala di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Malaysia untuk semua pengembara yang tiba dari luar negara.
  • Mewajibkan kuarantin 14 hari bagi semua pengembara yang tiba dari luar negara.
  • Membuat saringan gejala di fasiliti kesihatan serta membuat rujukan dan isolasi kes di hospital-hospital terpilih.
  • Melaksanakan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah/Home Surveillance Order (HSO) untuk individu yang mempunyai kaitan epidemiologi berkaitan COVID-19 tetapi tidak bergejala.
  • Meningkatkan kapasiti isolasi di hospital.
  • Memantapkan kemampuan dan keupayaan makmal dalam menjalankan ujian pengesanan virus COVID-19.
  • Menjalankan latihan kepada kakitangan kesihatan khususnya mengenai penggunaan alat pelindung diri/Personal Protective Equipment (PPE) yang betul.
  • Memastikan stockpile PPE dan ubat-ubatan bagi merawat kes COVID 19 adalah mencukupi.
  • Meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jangkitan virus COVID19 melalui media sosial dan media cetak.
Soalan 42: Apakah langkah pencegahan jangkitan COVID-19 di tempat kerja?

Setiap majikan dan pekerja perlu mengamalkan langkah-langkah berikut, iaitu: 

  • Memastikan tempat kerja bersih dan bebas kuman. Kerap lap permukaan dan alatan dengan cecair disinfeksi.
  • Letakkan hand sanitizer di tempat yang mudah dicapai di tempat kerja dan pastikan ia kerap diisi semula.
  • Menyediakan pelitup muka.
  • Mematuhi prosedur kerja selamat dan memakai Personal Protective Equipment (PPE) yang ditetapkan semasa bekerja.
  • Menggalakkan bekerja dari rumah bagi pekerja yang tidak perlu berada di pejabat sepenuh masa.
  • Memberi taklimat kepada pekerja dan pelanggan sekiranya terdapat kes COVID-19 dalam komuniti sekitar dan galakkan bekerja dari rumah jika tidak sihat/bergejala. 
Soalan 43: Apakah tindakan majikan jika ada kes positif COVID-19 di tempat kerja?

Majikan harus bekerjasama dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memberi maklumat untuk pengesanan kontak rapat dengan pekerja positif COVID-19. Pejabat Kesihatan Daerah akan menjalankan saringan dan pengesanan kontak rapat di tempat kerja yang terdapat kes positif. Berdasarkan saringan tersebut, pekerja yang dikesan sebagai kontak rapat perlu menjalani ujian COVID-19. 

Majikan harus menjalankan pembersihan dan nyahkuman di ruang kerja dan kawasan pejabat. Panduan disinfeksi dan pembersihan di pejabat haruslah dibuat berdasarkan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia

Soalan 44: Apakah langkah pencegahan jangkitan COVID-19 di pusat beli belah?
  • Pemilik premis perlu kerap melakukan nyahkuman/disinfeksi permukaan yang mudah dicemari kuman seperti tempat duduk, eskalator & susur tangga, troli, tombol pintu, butang lif dan mesin ATM.
  • Sentiasa bersihkan tangan dengan hand sanitizer atau basuh tangan dengan air dan sabun.
  • Amalkan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter.
  • Pakai pelitup muka dengan cara yang betul.
Soalan 45: Apakah prosedur yang perlu dilakukan apabila pulang dari Sabah?

Semua pengembara yang tiba dari Sabah perlu: 

  • Memuat turun dan mendaftar aplikasi MySejahtera
  • Mendaftar masuk (Check-in) menggunakan aplikasi MySejahtera di Pintu Masuk antarabangsa (PMA) Malaysia.
  • Menjalani saringan kesihatan dan ujian swab Rt-PCR COVID-19 di PMA.
  • Menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman sendiri atau hotel dan dipakaikan gelang pengawasan (wristband).
  • Mendapatkan surat kebenaran menaiki kenderaan awam jika pengembara meneruskan perjalanan menggunakan kenderaan awam ke alamat kediamannya.
  • Menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di kediaman sendiri bermula dari tarikh ketibaan di PMA.
  • Memantau kesihatan kendiri menggunakan Home Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera selama 14 hari. Sekiranya bergejala dalam tempoh 14 hari, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk rawatan lanjut.
  • Melakukan ujian RTK Antibodi (RTK Ab) pada hari ke-13 di Klinik Kesihatan yang berhampiran.
  • Sekiranya keputusan ujian kedua (RTK Ab) negatif, surat Perintah Pelepasan Pengawasan akan diberikan dan gelang pengawasan akan ditanggalkan oleh pegawai diberi kuasa pada hari ke 14.
  • Sebaliknya, jika keputusan ujian adalah positif, ujian Rt-PCR perlu dilakukan.Tiada caj dikenakan untuk ujian Rt-PCR ini. Selepas ujian, anda dibenarkan balik ke rumah dan meneruskan kuarantin.
  • Jika ujian Rt-PCR adalah negatif, Perintah Pelepasan Pengawasan akan diberikan dan gelang pengawasan akan dipotong.
  • Jika ujian Rt-PCR adalah positif, anda akan dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut.
 

Soalan 46: Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)?

Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermaksud tiada pergerakan dibenarkan kecuali 

  1. Perkhidmatan Perlu (Essential Services),
  2. Pergerakan untuk melaksanakan Tugas Rasmi Kerajaan dan; 
  3. Urusan Kecemasan dan Kematian. 

Maklumat Terperinci berkaitan SOP PKPD boleh didapati di 

Portal Rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Soalan 47: Apakah yang dimaksudkan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)?

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermaksud 

  1. Semua sektor ekonomi dan industri dibenarkan beroperasi dengan mematuhi SOP yang diwartakan oleh kerajaan. 
  2. Pergerakan keluar dan masuk penduduk dari kawasan PKPB/rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran PDRM. 

Maklumat Terperinci berkaitan SOP PKPB boleh didapati di 

Portal Rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN)

Soalan 48: Adakah saya dibenarkan untuk keluar bersukan/ beriadah di tempat awam?

Aktiviti sukan, riadah dan rekreasi adalah tertakluk kepada SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan tertakluk kepada kawasan tempat tinggal anda, sama ada PKPP, PKPB atau PKPD. Jika anda tinggal di kawasan PKPD, anda tidak dibenarkan menjalankan semua aktiviti sukan, rekreasi dan riadah. Bagi kawasan PKPB, aktiviti bersukan boleh dilakukan secara individu atau berkumpulan dengan syarat tidak melebihi 10 orang, dilakukan di kawasan terbuka, tidak melibatkan sentuhan fizikal (contact sports) dan mematuhi peraturanperaturan yang sedang berkuatkuasa. Ini termasuklah kebenaran menggunakan fasiliti dan kemudahan sukan awam terbuka (indoor) dan (outdoor) yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Soalan 49: Adakah pelitup muka diwajibkan semasa bersenam atau beriadah?

Pemakaian pelitup muka tidak diwajibkan semasa bersenam atau beriadah. Walau bagaimanapun, pastikan penjarakan fizikal dilakukan dan mematuhi SOP sektor sukan dan rekreasi yang ditetapkan oleh kerajaan. Maklumat mengenai SOP sektor sukan dan rekreasi (Serta SOP-SOP lain yang dikeluarkan oleh setiap Kementerian) boleh didapati di pautan:

http://covid-19.moh.gov.my/faqsop/sop-pkp-pemulihan

Soalan 50: Jika saya mempunyai maklumat mengenai pelanggaran SOP, bagaimanakah saya boleh melaporkannya?

Sebarang maklumat tentang pelanggaran SOP bolehlah dilaporkan kepada balai polis atau Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan.

Soalan 52: Bagaimanakah saya boleh mendapatkan maklumat terkini berkaitan penyakit COVID-19?

Maklumat berkenaan penyakit COVID-19 boleh didapati dari : 

i. Laman web Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) 

ii. Media Sosial Rasmi KKM

ii. Telegram Rasmi 

Untuk pertanyaan lanjut boleh hubungi CPRC Kebangsaan seperti di bawah