COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Soalan Lazim (FAQ) Berkenaan VAKSIN COVID-19 Keluaran PFIZER (COMIRNATY®)

Soalan 1: Bagaimana vaksin Comirnaty bertindak di dalam tubuh badan?
Vaksin Comirnaty adalah menggunakan teknologi vaksin jenis mRNA (messanger ribonucleic acid). Vaksin mRNA terdiri daripada jujukan genetik yang diselaputi oleh bahan yang boleh melindungi mRNA daripada tindakbalas enzim di dalam badan dan memastikan mRNA dapat memasuki sel imun tertentu seperti sel dendritic dan makrofaj di dalam nodul limpa yang berdekatan kawasan suntikan. Vaksin mRNA akan menterjemahkan jujukan genetiK untuk menghasilkan protein tertentu COVID-19 yang unik yang dikenali sebagai “spike protein”. “Spike protein” ini boleh merangsang imuniti badan tanpa menyebabkan penyakit. Vaksin mRNA akan dimusnahkan oleh enzim di dalam sel selepas “spike protein” dihasilkan. Jujukan mRNA ini tidak memasuki nukleus dan tidak melibatkan bahan genetik DNA di dalam sel. “Spike protein” yang dihasilkan oleh vaksin mRNA akan merangsang pembentukan antibodi yang spesifik terhadap COVID-19 dan boleh bertindakbalas sekiranya terdapat jangkitan COVID-19 pada masa akan datang.
Soalan 2: Bolehkah vaksin Comirnaty mengubah DNA atau genetik seseorang?
Tidak. Vaksin Comirnaty tidak boleh mengubah DNA atau genetik seseorang kerana mRNA tidak memasuki nucleus di dalam sel dan tidak akan bertindakbalas dengan DNA.
Soalan 3: Adakah vaksin Comirnaty boleh menyebabkan penyakit COVID-19?
Tidak. Vaksin Comirnaty tidak menggunakan virus SARS-CoV-2 yang hidup. Oleh itu, tidak menyebabkan penyakit COVID-19.
Soalan 4: Siapa yang boleh mendapat vaksin Comirnaty?
Semua individu yang berusia 18 tahun ke atas boleh mengambil vaksin Comirnaty
Soalan 5: Berapa dos yang diperlukan untuk vaksin Comirnaty?
Setiap individu perlu menerima 2 dos vaksin Comirnaty dengan tempoh masa sekurang-kurangnya 21 hari di antara dos pertama dan dos kedua
Soalan 6: Siapa yang tidak sesuai menerima vaksin menerima vaksin Comirnaty?

Vaksin Comirnaty tidak sesuai diberikan kepada:

  • Individu mempunyai sejarah alahan/alergi yang serius (cnth: anafilaksis) terhadap makanan/ubat/persekitaran sehingga memerlukan rawatan hospital.
  • Individu yang mengalami alahan/alergi yang serius selepas menerima dos pertama vaksin Comirnaty.
  • Individu yang menjalani transplan/pemindahan organ seperti buah pinggang atau sel stem darah dalam masa 3 bulan sebelum divaksinasi.
  • Individu yang sedang menjalani rawatan kanser seperti kemoterapi, radioterapi, imunoterapi.
  • Individu yang mengidap penyakit HIV dengan sel darah putih CD4 < 200 cells/mL
  • Ibu yang mengandung atau merancang untuk hamil 
  • Individu yang sedang demam disebabkan jangkitan virus/bakteria
  • Individu yang menerima rawatan antibodi monoclonal atau plasma darah sebagai rawatan untuk COVID-19 dalam masa 3 bulan sebelum divaksinasi
  • Individu yang mempunyai sel darah platelet yang rendah (< 50,000 per microlitre)
Soalan 7: Adakah saya akan diberi penerangan sebelum diberi suntikan vaksin Comirnaty?
Petugas kesihatan di pusat vaksinasi akan menerangkan dan memastikan hanya individu yang layak akan menerima vaksin Comirnaty
Soalan 8: Adakah saya boleh terus balik selepas diberi suntikan vaksin Comirnaty?
Setiap individu yang menerima suntikan vaksin Comirnaty perlu menunggu sekurang-kurangnya 30 minit untuk pemantauan kesan sampingan vaksin tersebut.
Soalan 9: Apakah kesan sampingan yang mungkin akan dihadapi selepas diberi suntikan vaksin Comirnaty?

Kesan sampingan yang mungkin boleh berlaku adalah seperti berikut:

  • Sakit pada kawasan suntikan 
  • Sakit kepala/ pening
  • Sakit otot
  • Demam / menggigil
  • Sakit sendi
  • Bengkak pada Kawasan suntikan
  • Loya / rasa ingin muntah
  • Rasa lesu
  • Bengkak kelenjar nodus limpa
Soalan 10: Bagaimana untuk membezakan seseorang individu telah menerima vaksin Comirnaty?
Setiap penerima vaksin akan menerima maklumat vaksin samada menggunakan perisian MySejahtera atau diberikan kad vaksinasi yang mempunyai maklumat tarikh suntikan, nama vaksin dan kod rujukan vaksin.
Soalan 11: Selepas vaksinasi Comirnaty, adakah seseorang individu masih perlu mematuhi SOP norma baharu (amalkan 3W, elakkan 3C)?
Ya. Selepas vaksinasi Comirnaty, badan memerlukan beberapa minggu untuk menghasilkan antibodi spesifik terhadap virus SARS-CoV-2 dan ianya boleh terdedah kepada jangkitan virus tersebut. Oleh yang demikian, perlu meneruskan norma baharu iaitu amalkan 3W dan elakkan 3C.

Disediakan oleh: Dr Masita Arip dan Ching Yee Ming (IMR)

Disemak oleh: Dr Hishamshah Mohd Ibrahim (TKPK PS&T)